WELLINGTON, 1 Feb – Penduduk New Zealand akan membuang undi pada 23 September dalam satu pilihan raya yang dijangka dikuasai oleh ekonomi dan keperluan untuk mendirikan kerajaan yang stabil, kata Perdana Menteri Bill English hari ini.
English, yang mengambil alih sebagai pemimpin di negara Pasifik Selatan pada Disember ekoran peletakan jawatan mengejutkan pemimpin sebelumnya John Key, akan berusaha memenangi penggal keempat untuk gabungan pimpinan Parti Nasional.
Ketika diminta memilih tumpuan kempennya, English menjawab “pertumbuhan”, merujuk kepada ekonomi yang berkembang pada kira-kira 3.5 peratus setahun.
Beliau juga berkata New Zealand memerlukan kesinambungan di tengah krisis politik antarabangsa.
“Kami telah memberikan kerajaan yang berjaya dan stabil, yang lebih penting sekarang pada masa ketidakpastian di kebanyakan kawasan di dunia,” beritahunya kepada wartawan, selepas mengecam pelaksanaan pengharaman Presiden AS Donald Trump ke atas pelawat dari tujuh negara Islam.
Bagaimanapun, Parti Nasional akan mengambil bahagian dalam pilihan raya tanpa aset paling kuatnya, bekas pemimpin Key, yang mengekal kepopularan peribadi yang kukuh ketika berkuasa selama lapan tahun.
Satu tinjauan pendapat yang diadakan sejurus selepas Key meletak jawatan menunjukkan sokongan Nasional merosot 4.5 mata pada 45 peratus, sementara gabungan Buruh-Hijau meningkat 5.5 kepada 43 peratus. – AFP