WELLINGTON, 30 JUN – New Zealand akan menjadi tuan rumah mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2021, lapor agensi berita Xinhua.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Winston Peters dalam satu kenyataan hari ini berkata berikutan wabak COVID-19 yang mengancam dunia termasuk sekatan penerbangan dan sempadan, APEC 2021 akan diadakan secara maya.
“Disebabkan faktor keselamatan, kami harus segera membuat keputusan untuk menjadi tuan rumah APEC. Tidak praktikal menunggu berbulan-bulan lagi untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai penularan COVID-19,” katanya.
“Jika ia dianjurkan seperti biasa, ribuan orang datang ke New Zealand, sudah tentu kita tidak dapat menjamin mereka yang datang itu tidak perlu dikuarantin,” kata Peters.
Justeru, keputusan menganjurkan APEC 2021 secara maya merupakan penyelesaian terbaik di samping mengekalkan komitmen New Zealand untuk menjadi tuan rumah, tambah beliau. – Bernama