WELLINGTON, 15 JAN – New Zealand menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang juga merupakan perjanjian perdagangan pertama negara itu di rantau Teluk, lapor Xinhua.
Perjanjian perdagangan dan perjanjian pelaburan yang dikenali sebagai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) itu dimeterai kelmarin di Abu Dhabi, UAE.
Menurut laman rasmi Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan New Zealand hari ini, eksport utama New Zealand ke UAE termasuk produk tenusu, produk perindustrian, daging, hasil hortikultur dan perkhidmatan pelancongan.
“Pasaran UAE yang dinamik dan bernilai tinggi menawarkan peluang besar untuk pertumbuhan dan kepelbagaian eksport syarikat New Zealand,” menurut kenyataan itu.
Perdagangan dua hala antara New Zealand dan UAE bernilai AS$730 juta setahun dan angka itu dijangka meningkat apabila CEPA mula berkuat kuasa pada tahun ini, kata Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon.
Kerajaan New Zealand menyasarkan untuk menggandakan nilai eksportnya dalam tempoh 10 tahun, kata Luxon sambil menambah bahawa CEPA memberikan akses istimewa kepada pengeksport sektor utama New Zealand termasuk mengukuhkan rantaian bekalan dengan rakan kongsi utama di rantau Teluk. – Bernama