Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    OANA bimbang fenomena berita palsu

    HANOI, 19 April – Pertubuhan Agensi-agensi Berita Asia Pasifik (OANA) menzahirkan kebimbangan mendalam berhubung fenomena berita palsu yang melanda dunia media dan kini turut menjejaskan reputasi agensi berita.

    Presiden OANA  Aslan Aslanov berkata berita palsu telah menjadi isu mendesak dalam kalangan agensi berita dan ada pihak yang telahpun menjadi mangsanya.

    Aslan, yang juga Pengerusi Lembaga  Agensi Berita Azerbaijan (Azertac), berucap pada sesi pembukaan Mesyuarat Lembaga Eksekutif OANA ke-44 yang berlangsung di sini hari ini. Mesyuarat itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Vietnam Vu Duc Dam.

    Lebih 30 anggota delegasi dari 14 agensi berita, termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), yang merupakan anggota Lembaga Eksekutif  OANA, menghadiri mesyuarat itu, anjuran Agensi Berita Vietnam (VNA).

    Bernama diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurini Kassim dan Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab. OANA mempunyai 44 anggota dari 35 negara.

    Aslan berkata bagi memastikan  OANA, dan khususnya agensi berita yang menganggotainya, kekal  relevan dalam era teknologi maju kini, mereka seharusnya menerapkan teknologi baharu untuk mendepani cabaran yang dibawa berita palsu.

    Beliau berkata agensi berita dan media arus perdana tradisional yang lain perlu terus mengekalkan prinsip kewartawanan yang baik, mengamalkan pemeriksaan fakta dalam setiap berita, kerana ini akan menjadikan mereka ‘benteng’ terhadap berita palsu.

    Aslan berkata beliau yakin  OANA akan terus menjadi organisasi berita yang kuat, boleh dipercayai dan boleh diharapkan, kepada masyarakat serta dunia media. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda