Monday, October 28, 2024
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Obama sokong penuh usaha Harris atasi Trump

    KALAMAZOO, 27 OKT – Tokoh popular yang dikenali dengan imej cool, Barack dan Michelle Obama memberikan sokongan penuh, baik dari segi politik mahupun daya tarikan bintang mereka, untuk Kamala Harris dalam tempoh kritikal menjelang pilihan raya Amerika Syarikat (AS).

    Dengan hanya berbaki 10 hari lagi menjelang undian 5 November, Michelle Obama muncul di perhimpunan Harris di Kalamazoo, Michigan, yang menerima tepukan gemuruh.

    Michelle yang kelihatan teruja turut melaungkan kepada penyokong Harris ‘lakukan sesuatu’ iaitu ungkapan dari ucapannya di Konvensyen Kebangsaan Demokrat pada Ogos lalu ketika beliau mendesak penyokong Harris untuk bertindak.

    Harris memperkukuhkan kempen dengan membawa pelbagai selebriti terkenal bagi meraih sokongan pada hari-hari akhir kempen itu.

    Bagi Josette Lantis, nostalgia terhadap pasangan Obama yang membawa pengaruh kuat kepada kempen Harris amat bermakna. “Saya suka sikap mereka dan cara mereka bercakap. Mereka mampu memberikan panduan yang tepat,” ujar Josette, 48 tahun.

    Michelle Obama bercakap semasa perhimpunan bersama Naib Presiden AS dan calon presiden Demokrat,Kamala Harris pada 26 Oktober. – AFP

    “Ketika mereka memegang jawatan, tiada skandal, negara tidak begitu berpecah-belah, dan mereka adalah sebuah keluarga yang hebat.”

    Perhimpunan di Kalamazoo menandakan acara kempen besar kedua yang menampilkan Michelle, sementara Obama melakukan beberapa kemunculan berprofil tinggi.

    Selain Obama, Harris turut mendapat sokongan dari barisan selebriti seperti Beyonce, rapper Eminem, penyanyi Lizzo dan bintang R&B, Usher.

    Craig McDonald, yang turut hadir di perhimpunan itu, menyatakan bahawa sokongan Obama memberikan kredibiliti besar kepada kempen Harris. “Mereka sanggup meluangkan masa untuk acara itu sahaja sudah membuktikan sokongan besar,” katanya.

    Sementara itu, Trump, yang juga calon presiden tertua dalam sejarah AS dan yang pertama berdepan dengan rekod jenayah, berkempen dengan bermodalkan visi gelap masa depan AS yang sedang merosot.

    Michelle turut membangkitkan semangat penonton dengan melancarkan rayuan penuh emosi untuk mempertahankan hak wanita dan kebebasan reproduktif, dua isu kritikal dalam kempen Harris, yang dikatakan kurang diberi perhatian oleh Trump. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda