Selasa, Julai 29, 2025
33 C
Brunei

    Berita Terkini

    Obesiti ganggu emosi, jejas kesejahteraan mental kanak-kanak

    KUALA LUMPUR – “Nak baki 30 sen atau gula-gula?” tanya seorang wanita yang menjual ais krim buatan sendiri berharga 70 sen kepada seorang murid lelaki di luar pagar sebuah sekolah.

    “Nak gula-gula,” jawab kanak-kanak itu sebelum berlalu pergi dengan sebatang ais krim dan beberapa biji gula-gula di tangan.

    Situasi ini, walaupun nampak remeh, membuka persoalan besar mengenai tabiat pemakanan kanak-kanak sekolah masa kini yang mudah terdedah kepada makanan dan minuman tidak sihat.

    Tinjauan Bernama di beberapa buah sekolah rendah sekitar Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan baru-baru ini mendapati aktiviti penjualan makanan ringan, minuman berkarbonat, serta makanan segera seperti sosej dan nuget berleluasa di luar pagar sekolah.

    Malah, ada kanak-kanak yang turut membantu ibu bapa mereka berniaga di lokasi tersebut.

    Dr Muhammad Yazid Jalaludin. – Bernama
    Mahani Mohd Baseri. – Bernama
    N. V. Subbarow. – Bernama
    Bernama baru-baru ini menjalankan tinjauan di beberapa buah sekolah rendah sekitar Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan bagi melihat sendiri dakwaan penjualan makanan tidak sihat kepada murid-murid sekolah. – Bernama

    Di sebuah sekolah rendah, seorang murid kelihatan terus membantu bapanya menjual air berkarbonat sebaik keluar dari pintu pagar sekolah.

    Dalam cuaca panas, minuman pelbagai warna dan perisa yang hanya berharga RM1 secawan itu jelas menggoda kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun.

    Namun, di sebalik keenakan rasa dan harga yang murah, tersembunyi risiko jangka panjang terhadap kesihatan mereka.

    MINUM MANIS SETIAP HARI

    Menurut kenyataan UNICEF Malaysia pada Mei 2019, pengambilan minuman bergula dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat secara dramatik dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini.

    Ini seiring dengan peningkatan pendapatan, gaya hidup moden dan pemasaran agresif produk sedemikian.

    Sekitar 36 peratus pelajar dilaporkan mengambil minuman bergula sekurang-kurangnya sekali sehari.

    Purata pengambilan gula harian dalam kalangan remaja meningkat daripada tujuh sudu teh pada tahun 2012 kepada 10 sudu teh pada 2017 jauh melebihi saranan had untuk orang dewasa.

    Malah, secara purata rakyat Malaysia mengambil kira-kira tiga kilogram gula setahun hanya daripada minuman bergula.

    Cukai ke atas minuman bergula telah berjaya mengekang trend ini di beberapa negara.

    Sebagai contoh, di Filipina, pengenalan cukai tersebut mengurangkan pengambilan minuman bergula sebanyak 8.7 peratus. Kajian mendapati dasar itu boleh mencegah sehingga 24,000 kematian berkaitan diabetes, strok dan penyakit jantung.

    Malaysia mula mengenakan cukai terhadap minuman manis melalui Belanjawan 2019 dengan kadar 40 sen seliter.

    Kadar itu dinaikkan kepada 50 sen pada Belanjawan 2024 dan seterusnya kepada 90 sen seliter menerusi Belanjawan 2025 bagi tiga kategori minuman bergula sedia diminum yang dikilangkan atau diimport.

    Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pelaksanaan cukai tersebut menunjukkan hasil memberangsangkan apabila pengambilan minuman bergula dalam kalangan remaja menurun daripada 36.9 peratus (NHMS 2017) kepada 16.4 peratus (Kajian Impak 2022).

    “Golongan muda dan berpendapatan rendah (B40) yang merupakan pengguna tertinggi dan paling banyak berbelanja untuk minuman manis telah menerima impak positif daripada pelaksanaan cukai ini,” jelas KKM kepada Bernama.

    PATUH GARIS PANDUAN?

    Namun, walaupun dengan pelaksanaan cukai, pemakanan tidak sihat tetap menjadi isu utama.

    Makanan segera, snek tinggi kalori dan minuman manis kekal mudah diakses, terutama di kawasan berhampiran sekolah.

    Walaupun garis panduan dan larangan telah dikeluarkan, pelaksanaannya tidak sepenuhnya berkesan.

    Mengikut Garis Panduan Penguatkuasaan Larangan Penjualan Makanan dan Minuman di Luar Pagar Sekolah (Edisi 2021) oleh KKM, penjualan makanan dan minuman dalam radius 40 meter dari pagar sekolah adalah dilarang, kecuali premis berlesen yang mematuhi senarai makanan yang dibenarkan.

    Namun begitu, penguatkuasaan menjadi cabaran besar.

    Sekolah seperti Sekolah Kebangsaan King George V, Seremban menyatakan mereka tidak mempunyai kuasa menghalang penjaja di luar pagar kerana kuasa itu terletak di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

    “Kami hanya boleh keluarkan arahan agar penjaja berada 40 ke 50 meter dari pintu pagar sekolah seperti yang ditetapkan dalam garis panduan KPM.

    Kami juga mengeluarkan surat amaran kepada penjaja yang berdegil dan melaporkan kepada PBT,” jelas Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Mahani Mohd Baseri.

    Beliau juga menegaskan bahawa makanan di kantin sentiasa dipantau dan dilarang menjual makanan ringan serta segera. Pemeriksaan kendiri dijalankan oleh pengendali kantin dan diawasi guru.

    Kajian Fast-Food Consumption among Children According to Shari’ah Perspective (2021) turut menunjukkan kebimbangan terhadap trend pengambilan makanan segera. Kanak-kanak Malaysia berumur 12 hingga 15 tahun mengambil makanan segera sekurang-kurangnya dua kali seminggu, dengan faktor utama ialah iklan, gaya hidup dan kemudahan akses.

    BESAR TETAPI ‘KECIL’

    Obesiti juga memberi kesan mendalam kepada kesihatan emosi kanak-kanak. Dr Muhammad Yazid Jalaludin, Profesor Pediatrik UM dan Pakar Endokrinologi Pediatrik, menyatakan bahawa ramai kanak-kanak obes mengalami tekanan emosi.

    “Mereka rasa sangat ‘kecil’ walaupun badan mereka sangat besar. Lazimnya kanak-kanak obes bila rasa ‘down’, mereka akan terus makan dan makan,” katanya.

    Beliau berkongsi kes seorang kanak-kanak obes berumur 11 tahun yang sukar menjalani prosedur berkhatan kerana zakarnya tenggelam akibat lapisan lemak.

    Selepas mengikuti diet dan aktiviti fizikal yang disarankan, kanak-kanak itu berjaya menurunkan berat badan dan akhirnya boleh berkhatan.

    “Datuknya datang semula berjumpa saya dan menangis,” tambahnya. “Kita lihat bagaimana obesiti bukan sahaja menjejaskan kanak-kanak, tetapi juga emosi ahli keluarga mereka.”

    Beliau turut mengetuai kajian melibatkan 22,816 pelajar sekolah yang mendapati 29.4 peratus murid sekolah rendah dan 26.8 peratus pelajar sekolah menengah tergolong dalam kategori berat badan berlebihan dan obes.

    Sebagai respons, KKM memperkenalkan program My Body is Fit and Fabulous at School (MyBFF@school) yang bertujuan menangani obesiti dengan gabungan aktiviti fizikal, pendidikan pemakanan dan motivasi psikologi.

    SINDIR BADAN, MANGSA BULI

    Dr Noor Aishah Rosli dari CPC International berkata bahawa kanak-kanak obes sering kali menjadi mangsa buli dan ‘body shaming’. Mereka berasa malu, kurang keyakinan dan sering mengasingkan diri.

    “Saya pernah kendalikan kes seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang tidak mahu ke sekolah kerana digelar gajah oleh kawan-kawan,” katanya. Kanak-kanak itu baru berpindah sekolah dan tertekan apabila diketawakan dan dijauhi.

    Terapi minda diberikan untuk membantu membina semula keyakinan diri.

    FAHAMI MEREKA

    Tambah Dr Noor Aishah, kanak-kanak obes juga berisiko tinggi mengalami kemurungan, gangguan tidur, perubahan selera, serta menjadi cepat marah dan sensitif.

    Kesedaran keluarga sangat penting, namun malangnya, keluarga juga kadang-kala menjadi punca tekanan.

    “Ada yang tahan lapar dan tidak makan sampai dua hari kerana stres percaya boleh kurus cepat jika tidak makan,” jelasnya.

    Sebahagian mereka turut berdepan masalah perubatan seperti pradiabetes, tekanan darah tinggi dan sukar tidur.

    Semua ini menjejaskan pengalaman zaman kanak-kanak mereka, termasuk prestasi dalam sukan dan kokurikulum.

    MANIS, MURAH BERBAHAYA

    Pegawai CAP, N.V. Subbarow, berkata ratusan produk makanan ringan dan minuman yang berwarna-warni dan tinggi gula dijual secara meluas, sering kali pada harga serendah 60–70 sen.

    “Produk ini dibungkus dengan reka bentuk menarik dan berwarna-warni hampir tiada zat tetapi sangat tinggi gula,” katanya.

    Ada ibu bapa melaporkan anak-anak enggan minum air kosong atau makan sayur kerana lebih suka air berwarna dan makanan manis.

    Subbarow menggesa larangan ke atas penjualan produk-produk tersebut, terutamanya di sekitar sekolah dan tempat tumpuan awam seperti pasar raya.

    Beliau juga menyeru KKM dan pihak berkuasa agar mengadakan kempen kesihatan secara berterusan di sekolah dengan penggunaan bahan visual yang menarik perhatian kanak-kanak dan ibu bapa.

    Isu obesiti dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia perlu ditangani secara menyeluruh.

    Lebih daripada sekadar pengubahsuaian diet dan gaya hidup, pendekatan empati dan pemahaman psikososial juga penting.

    Kanak-kanak obes bukan sahaja menghadapi risiko kesihatan fizikal, tetapi juga tekanan emosi dan stigma sosial.

    Mereka memerlukan sokongan untuk membina harga diri dan menjalani kehidupan normal tanpa diskriminasi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda