SUVA, 9 April – Perangkaan terkini daripada Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) menunjukkan bahawa lebih satu pertiga daripada kanak-kanak dan remaja yang lebih tua di Fiji mengalami berat badan berlebihan atau obes, lapor Fiji Broadcasting Corporation kelmarin.
Wakil UNICEF Pasifik, Jonathan Veitch menekankan keperluan untuk menggalakkan tabiat pemakanan yang lebih sihat dalam kalangan pelajar.
“Kantin di sekolah masih menyediakan pilihan berkualiti rendah. Jadi itu bukan perkara yang baik untuk kanak-kanak jika mereka pergi ke sekolah dan kantin hanya memberi mereka pilihan yang tidak sihat,” kata Veitch.
Beliau menambah bahawa golongan muda menghadapi peningkatan risiko menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) di kemudian hari.
Timbalan Perdana Menteri Fiji dan Menteri Pendidikan, Viliame Gavoka juga menekankan keperluan untuk mengukuhkan kerjasama untuk menambah baik apa yang dijual di sekolah.
“Terdapat arahan tentang cara memperbaiki diet dan kami akan terus memberikan tumpuan kepada perkara itu, di peringkat bawah kami memerlukan lebih banyak sokongan daripada masyarakat,” kata Gavoka.
Menurut data pemakanan terkini UNICEF untuk program pemakanan 2023-2027, kira-kira 7,000 daripada 91,897 kanak-kanak di bawah umur 5 tahun di Fiji hidup dengan obesiti, manakala 7.2 peratus daripada mereka di bawah umur 5 tahun terbantut. – Xinhua


