NEW YORK, 18 DIS – Satu kajian baharu menambah bukti bahawa obesiti teruk semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak muda Amerika Syarikat (AS).
Timbul harapan kanak-kanak dalam program makanan kerajaan mungkin menentang trend dalam kadar obesiti – kajian awal mendapati kadar menurun sedikit kira-kira sedekad yang lalu untuk kanak-kanak tersebut. Namun kemas kini yang dikeluarkan hari ini dalam jurnal Pediatrics menunjukkan kadar itu naik semula menjelang 2020.
Peningkatan itu mencerminkan data kebangsaan lain, yang menunjukkan kira-kira 2.5 peratus daripada semua kanak-kanak prasekolah mengalami obesiti teruk dalam tempoh yang sama.
Kajian itu melihat kanak-kanak berumur 2 hingga 4 tahun yang mendaftar dalam program Wanita, Anak Damit dan Kanak-kanak (WIC), yang menyediakan makanan sihat dan perkhidmatan lain kepada kanak-kanak prasekolah dalam keluarga berpendapatan rendah.
Para penyelidik mendapati bahawa 2.1 peratus kanak-kanak dalam program ini mengalami obesiti teruk pada 2010. Enam tahun kemudian, kadarnya telah menurun kepada 1.8 peratus. Tetapi menjelang 2020, ia mencecah 2 peratus. Ini bersamaan dengan kira-kira 33,000 daripada lebih 1.6 juta kanak-kanak dalam program WIC.
Pakar berkata obesiti teruk pada usia yang amat muda hampir tidak dapat dipulihkan, dan dikaitkan dengan masalah kesihatan kronik dan kematian awal. – AP


