ABUJA, 19 JULAI – Kapten Nigeria John Obi Mikel (gambar bawah) mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa selepas membantu Super Eagles meraih tempat ketiga kejohanan Piala Negara Afrika.
“Pada usia 32 tahun sudah sampai masa untuk saya bersara daripada skuad kebangsaan dan diambil alih pemain muda yang mempamerkan prestasi cemerlang dengan meraih pingat gangsa AFCON 2019,” kata bekas pemain tengah Chelsea itu dalam media sosial. “Mesir negara di mana saya bermula dan menamatkan karier antarabangsa. Saya beraksi untuk Nigeria secara rasmi pada 2006 dan Piala Negara Afrika 2019 bakti terakhir saya bersama Super Eagles.”
Mikel meraih 89 kap dan menjaringkan enam gol di antara 2005 sehingga 2019 dan membantu pasukannya muncul juara Piala Afrika 2013 di Afrika Selatan.
Dia juga mengemudi Nigeria meraih gangsa ketika Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil sebagai salah seorang pemain lebih usia.
Obi tidak beraksi pada aksi kelayakan Piala Afrika di Mesir sejurus selepas Piala Dunia 2018 tetapi kembali beraksi dua perlawanan sebelum diketepikan akibat kecederaan lutut. – AFP