Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Objek pertama berjaya dikeluarkan dari kapal kembar Titanic

    ATHENS, 16 SEPT – Penyelam laut dalam berjaya mendapatkan semula kumpulan objek pertama dari kapal kembar Titanic yang karam di luar pantai Greece pada 1916, kata Kementerian Kebudayaan hari ini.

    Kementerian itu berkata program penyelidikan pada Mei berjaya ‘mendapatkan semula objek dari tapak karam HMHS Britannic buat kali pertama iaitu pada kedalaman melebihi 120 meter.’

    HMHS Britannic merupakan salah satu daripada tiga kapal penumpang rentas Atlantik yang dibina di limbungan Harland dan Wolff di Belfast, iaitu RMS Titanic.

    Kapal itu tenggelam dalam masa kurang sejam dan daripada 1,065 orang di atas kapal itu, 30 telah terbunuh apabila kipas kapal itu tersangkut dua bot penyelamat, kata Kementerian Kebudayaan.

    Projek untuk mendokumentasikan kandungan kapal tersebut telah dijalankan oleh sebuah pasukan yang terdiri daripada 11 orang anggota termasuk penyelam laut dalam profesional yang menggunakan peralatan menyelam litar tertutup.

    Penyelidikan itu telah dianjurkan oleh ahli sejarah amatur British Simon Mills, pengasas Yayasan Britannic dan diselia oleh Ephorate of Underwater Antiquities Greece.

    “Keadaan di tapak kapal karam tersebut amat mencabar kerana arus, kedalaman dan jarak penglihatan yang rendah,” katanya, sambil menambah sebahagian objek tertentu yang dipilih pada mulanya tidak dapat diambil kerana lokasi dan status pemeliharaannya.

    Antara objek yang diambil termasuk loceng tiang pemerhatian kapal, lampu isyarat tepi pelabuhan, pelbagai barangan peralatan dari kelas pertama dan kedua, jubin seramik Turkiye dan sepasang teropong. – AFP

    Gambar menunjukkan sepasang teropong yang dijumpai dari HMHS Britannic, di Pulau Kea, Greece pada 15 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda