Monday, February 24, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    OBK terima sumbangan kerusi roda

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 8 Nov – Sebanyak enam buah kerusi roda telah disumbangkan oleh syarikat-syarikat tempatan kepada Persatuan Pacuan Empat Roda Negara Brunei Darussalam untuk disumbangkan kepada orang-orang berkeperluan khas (OBK) yang tinggal di Kampung Tanjong Maya, Tutong.

    Majlis Penyerahan sumbangan berkenaan telah pun diadakan di Dewan Kemasyarakatan Tanjong Maya Tutong dan salah sebuah rumah penerima di Jalan Bengugus, Kampung Tanjong Maya, petang tadi.

    Hadir menyerahkan sumbangan tersebut bagi mewakili syarikat-syarikat tempatan berkenaan ialah Yang Di-Pertua Persatuan Pacuan Empat Roda Negara Brunei Darussalam, Haji Ibrahim bin Haji Awang Damit yang menyerahkan sumbangan kepada Ketua Kampung Tanjong Maya, Haji Mohd Shuib bin Haji Mat Yusof selaku wakil penerima dan sebuah lagi terus kepada salah seorang penerimanya.

    Salah seorang penerima kerusi roda dari Kampung Tanjong Maya menerima sumbangan kerusi roda.

    Turut hadir menyaksikan penyerahan tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Haji Apong yang juga selaku Penghulu Mukim Tanjong Maya.

    Di majlis tersebut, Ketua Kampung Tanjong Maya menyampaikan penghargaannya atas keprihatinan mereka yang terlibat menyumbangkan derma berbentuk kerusi roda kepada yang memerlukan dan mendoakan semoga mereka diberi rahmat dan mendapat kesejahteraan dalam kehidupan.

    Majlis Penyerahan Sumbangan Kerusi Roda berkenaan merupakan projek amal yang keempat persatuan tersebut yang mana menerusi projek amal seumpamanya, mereka turut menyampaikan sumbangan untuk Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait dan Pusat Dialisis Rimba.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda