LOS ANGELES, 30 JUN – Penjaga gol Guillermo Ochoa menjadi wira apabila menyelamatkan penalti penentu ketika Mexico mengatasi Costa Rica 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti untuk mara ke separuh akhir Piala Emas CONCACAF di Houston, Texas.
Ochoa menafikan sepakan Keysher Fuller selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 selepas masa tambahan di depan 70,788 orang penyokong di Stadium NRG.
Mexico akan berdepan Haiti dalam saingan separuh akhir pada Selasa di Glendale, Arizona.
Jimenez memberikan Mexico gol pembukaan pada minit ke-44, dengan Bryan Ruiz menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti untuk Costa Rica lapan minit kemudian selepas Joel Campbell dikasari oleh Luis Rodriguez di dalam petak penalti.
Pengurus Mexico, Gerardo ‘Tata’ Martino, akan digantung dari berada di petak teknikal pada perlawanan separuh akhir menentang Haiti selepas dikenakan kad kuning kedua di kejohanan itu. – AFP