Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Octopizzo sumber inspirasi golongan muda di Kenya

    NAIROBI – Seperti kebanyakan pemuda di kawasan paling padat di Nairobi, Henry Ohanga membesar dengan kepercayaan yang dia tidak akan mengecapi apa-apa.

    Sebelum menempah nama, malah meninggalkan Kibera: ini bukanlah sesuatu yang berlaku pada seorang anak yatim yang pernah melakukan rompakan terhadap orang, demi semata-mata untuk mengalas perut.

    Kini berusia 29 tahun, dikenali sebagai Octopizzo, salah seorang bintang hip-hop yang paling terkenal di Afrika Timur dan menggunakan kejayaannya untuk menghentikan stigma di sekitar kawasan setinggan yang padat, dia berjaya memberi inspirasi kepada kanak-kanak di sana agar mencapai kejayaan yang diimpikan.

    Dengan memakai baju hitam Adidas, beranting-anting di telinganya, memakai jam tangan berwarna keemasan dan rantai besar meliliti lehernya, aksi Ohanga yang berada di atas bumbung besi compang-camping itu adalah di mana dia membesar.

    “Semuanya, segalanya termuat dalam lagu rap saya…Saya merasa jika saya tidak dilahirkan di sini, mungkin saya tidak menjadi seorang penyanyi rapper,” katanya kepada AFP di Kibera, di mana kebanyakan rakan-rakan dan kaum keluarganya masih tinggal di sana.

    Kibera berada di atas kawasan seluas 2.5 kilometer persegi, sebuah tempat etnik miskin, tidak jauh antara kawasan kaya di ibu negara Kenya . – AFP
    Buat Octopizzo, Kibera adalah tempat yang paling disukainya, ‘lebih daripada apa yang ada di dunia ini’ dan ianya telah dimuatkan pada setiap lagu popularnya. – AFP

    Kibera berada di atas kawasan seluas 2.5 kilometer persegi, sebuah tempat etnik miskin, tidak jauh antara kawasan kaya di ibu negara Kenya, di mana para penduduknya bekerja dan kebanyakannya sebagai buruh biasa.

    Penduduk perkampungan miskin ini menjadi subjek perdebatan hangat, dengan slogan NGO lama iaitu ‘kawasan paling padat dan termiskin di Afrika’ di mana banci kerajaan dan kajian bebas lain menyatakan bahawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini antara 170,000 sehingga 250,000 orang telah tinggal di sana.

    Namun buat Octopizzo, Kibera adalah tempat yang paling disukainya, “lebih daripada apa yang ada di dunia ini” dan ianya telah dimuatkan pada setiap lagu popularnya. Dengan beberapa aksi gayanya, video muzik yang dihasilkan oleh penerbit-asing itu telah mendapat sambutan di laman YouTube dengan lebih daripada satu juta tontonan.

    Di Kibera, bukannya sampah atau debu-tanah yang menjadi inspirasi Ohanga.

    Sebaliknya dia terinspirasi dengan ‘suasana yang unik dan indah’.

    Kanak-kanak memakai baju seragam berwarna terang ke sekolah, dentuman muzik kedengaran pada setiap sudut jalan, bunyi mesin jahit jelas kedengaran di rua-ngan terbuka dengan suasana dan kesibukan kota.

    “Saya tidak menyalahkan penduduknya. Jika anda berada di Kibera, ia adalah definisi kepada sistem yang telah gagal,” katanya.

    Walaupun dia menggambarkan dirinya lebih kepada ‘kehidupan sosial’ berbanding dengan politik, ianya sukar untuk mengelakkan topik-topik yang berada di kawasan miskin itu, di mana ia menjadi isu pertama ketika ketengangan politik.

    Dia cuba mengenang kembali, apabila berjalan-jalan di kawasan itu semasa krisis pasca-pilihan raya Kenya pada tahun 2007, dia perlu membawa parang sebagai pelindung. Ianya disebabkan berlakunya keganasan etnik yang dipersalahkan ke atas ahli politik.

    Kemarahannya itu telah dimuatkan dalam lagu rakaman pertamanya iaitu: ‘Voices of Kibera’.

    Bagaimanapun, pencapaian terbesarnya hadir pada tahun 2012, melalui program kesenian di Majlis Perbandaran British, yang juga membawa artis terkenal lainnya seperti kumpulan band pop-afro iaitu Sauti Sol.

    Irama rap Ohanga telah beralih kepada makanan dan fesyen-fesyen di Kibera, untuk mengubah imej negatif di kawasan miskin itu, yang telah berakar umbi untuk sekian lama.

    Henry Ohanga bergambar bersama peminatnya ketika berkunjung ke Kibera. – AFP
    Henry Ohanga bercakap kepada media semasa berada di studio rakaman di Nairobi. – AFP

    Tetapi ahli politik dan Kibera kekal saling berkaitan. Apabila protes pasca-pilihan raya meletus pada tahun lalu, Ohanga cuba mengunjungi kawasan daif tersebut untuk bersuara kepada penunjuk perasaan dan juga anggota polis, serta mengkritik terhadap keganasan polis, yang mana mengorbankan beberapa penduduk di Kenya, termasuklah penduduk di kawasan itu.

    “Saya mempunyai suara dan saya perlu menggunakannya, sama ada orang suka ataupun tidak,” katanya.

    Ohanga tidak pernah merancang untuk menjadi seorang penyanyi rap. Cita-citanya adalah untuk menjadi seorang ahli hortikultur. “Saya menyukai bunga,” katanya.

    Tetapi peluang itu tidak pernah tercapai. Bapanya meninggal dunia ketika dia berusia 14 tahun, ibunya pula setahun kemudian dan akhirnya dia tinggal bersama seorang rakan dan menyertai sekumpulan geng, merompak kedai dan orang ramai.

    “Saya tidak pernah menyesal menjadi sebahagian daripada itu, saya tidak pernah membunuh sesiapa pun,” kata Ohanga, yang juga mempunyai lagu yang didedikasikan kepada kumpulan samseng dan pengedar dadah.

    Melalui pengalaman peribadi dan kerjasamanya dengan agensi pelarian PBB, dia ingin membantu para belia untuk merealisasikan potensi mereka melalui seni.

    Pada tahun 2016, artis daripada kem pelarian Kakuma dan Dadaab yang mana telah dilatih dan dibimbing oleh Ohanga, telah berjaya mengeluarkan sebuah album bertajuk ‘Refugeenius’.

    “Saya mahu menjadi seorang insan yang serba boleh. Apabila kita membesar, kita tidak mengetahui siapa yang akan menempa kejayaan. Guru-guru dan ibu bapa mereka telah memberitahu mereka bahawa kanak-kanak tidak akan menjadi apa-apa, ia bukanlah nasib kita,” kata Ohanga.

    Salah seorang lelaki muda yang telah terinspirasi olehnya ialah Daniel Owino, berusia 22 tahun, menganggap Ohanga sebagai seorang ‘kanak-kanak nakal’ dan sering membawa masalah kepada semua orang di kawasan kejiranan.

    “Saya memberitahunya: Walaupun saya pernah berada di sana dan kami pernah merompak namun kami telah berubah,” kata Ohanga.

    Owino, kini dikenali sebagai Futwax, telah mengubah corak kehidupannya dan bekerja sebagai pemandu teksi motosikal sambil mengejar minatnya terhadap muzik. Dia setakat ini berjaya merakamkan 13 buah lagu. Dia juga telah dinobatkan sebagai ‘Kibera’ baru-baru ini.

    “Dia adalah sumber inspirasi buat saya. Dahulunya, saya sering ke rumahnya di sini, di kawasan miskin ini. Octopizzo begitu gigih dan rajin. Saya mungkin dapat menjadi sepertinya suatu masa nanti,” kata Owino kepada AFP. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda