OSLO, 10 SEPT – Kapten Norway, Martin Odegaard, mengalami kecederaan buku lali semasa perlawanan Liga Negara-Negara UEFA menentang Austria kelmarin, yang menimbulkan kebimbangan buat Arsenal menjelang beberapa perlawanan penting.
Odegaard dilihat menutup mukanya ketika dirawat di atas padang selepas kecederaan yang berlaku di pertengahan separuh masa kedua, akibat perlanggaran dengan pemain tengah Austria, Christoph Baumgartner.
Kecederaan itu berpunca daripada aksi perebutan bola di mana Odegaard kelihatan terjatuh dengan buku lalinya terpusing secara tidak semena-mena.
Selepas beberapa minit, Odegaard terpaksa meninggalkan padang dalam keadaan terhincut-hincut dan rakan sepasukan, Erling Haaland, dilihat cuba menenangkannya.
“Kecederaannya kelihatan serius di bilik persalinan,” kata jurulatih Norway, Stale Solbakken kepada TV 2. “Dia tidak mampu meneruskan permainan.”
Odegaard dijangka kembali ke kelabnya untuk menghadapi minggu mencabar bersama Arsenal, dengan jadual termasuk perlawanan menentang Tottenham pada Ahad, diikuti dengan pembukaan Liga Juara-Juara menentang Atalanta di Itali dan kemuncak minggu tersebut dengan perlawanan menentang Manchester City pada 22 September.
Norway memenangi perlawanan itu 2-1 hasil gol Haaland pada minit ke-80 setelah terikat 1-1 ketika Odegaard terpaksa dikeluarkan. – AP