SINGAPURA, 28 JULAI – Martin Odegaard menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-84 ketika Arsenal menewaskan Newcastle 3-2 dalam aksi persahabatan pramusim di Singapura semalam.
Viktor Gyokeres, penyerang antarabangsa Sweden yang baru ditandatangani dari Sporting Lisbon pada Sabtu, diperkenalkan kepada lebih 38,700 penyokong sebelum sepak mula.
Dia hanya menyaksikan dari bangku simpanan ketika kelab baharunya meraih kemenangan menghiburkan dalam cuaca panas Singapura.
Pemain berusia 27 tahun itu dijangka membuat penampilan sulung apabila Arsenal menentang Tottenham Hotspur di Hong Kong Khamis ini dalam satu lagi aksi persahabatan.
“Kami sentiasa meningkatkan kualiti skuad, jadi kami sangat gembira Viktor bersama kami,” kata pengurus Mikel Arteta. “Ia merupakan perjalanan yang panjang untuk membawanya ke sini.”

Newcastle, yang tidak menurunkan penyerang Alexander Isak yang sedang mempertimbangkan masa depannya, membuka jaringan menerusi serangan pertama mereka pada minit keenam.
Pemain baharu, Anthony Elanga merembat bola ke penjuru bawah gawang selepas menerima hantaran lintang daripada Sandro Tonali.
Mikel Merino menyamakan kedudukan pada minit ke-33 hasil sentakan Kai Havertz.
Dua minit kemudian, Arsenal berada di hadapan apabila pemain pertahanan Newcastle, Alex Murphy tertampan bola ke gawang sendiri.
Pemain gantian Jacob Murphy menyamakan kedudukan Newcastle seminit kemudian menerusi rembatan dari luar kotak penalti yang melepasi David Raya.
Larian jauh pemain muda berusia 15 tahun, Max Dowman ke dalam kotak penalti telah mengubah segalanya apabila dia dijatuhkan oleh Joelinton. Odegaard menyempurnakan sepakan penalti untuk menghadiahkan kemenangan kedua Arsenal di Singapura, selepas menewaskan AC Milan 1-0 sebelum ini. – AFP