PARIS, 22 MEI – Pernahkah awda terfikir me-ngapa gigi kita sangat sensitif terhadap ke-sakitan atau sekadar minuman sejuk?
Menurut satu kajian diterbitkan kelmarin, hal itu mungkin disebabkan oleh hakikat bahawa gigi pada asalnya berevolusi untuk tujuan yang sangat berbeza daripada mengunyah, kira-kira setengah bilion tahun yang lalu.
Asal-usul sebenar gigi dan tujuan asalnya telah lama menjadi persoalan yang sukar dijawab oleh para saintis.
Pelopor evolusi gigi dipercayai merupakan struktur keras yang dikenali sebagai odontod, yang pertama kali muncul bukan di dalam mulut, tetapi pada perisai luaran ikan terawal sekitar 500 juta tahun yang lalu.
Malah hari ini, jerung, pari dan ikan keli ditutup dengan gigi mikroskopik yang menjadikan kulit ikan tersebut kasar seperti kertas pasir.
Terdapat beberapa teori mengapa odontod itu mula-mula muncul, termasuk ia melindungi daripada pemangsa, membantu pergerakan melalui air atau mineral yang disimpan.
Bagaimanapun, kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal Nature menyokong hipotesis bahawa ia pada asalnya digunakan sebagai organ deria yang menghantar ke saraf.
Pada mulanya, pengarang utama kajian itu, Yara Haridy, tidak berusaha untuk meneliti asal-usul gigi.
Sebaliknya penyelidik pasca doktoral di Universiti Chicago sedang menyiasat satu lagi persoalan utama yang membingungkan bidang paleontologi iaitu apakah kaitan fosil tertua haiwan dengan tulang belakang?
Haridy meminta muzium di seluruh Amerika Syarikat menghantar ratusan spesimen tulang belakang kepadanya beberapa daripadany sangat kecil yang boleh dimuatkan pada hujung pencungkil gigi supaya dia boleh menganalisisnya menggunakan pengimbas CT.
Dia mula memberi tumpuan kepada dentin, lapisan dalam gigi yang menghantar maklumat deria kepada saraf dalam pulpa. – AFP
