Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Oggy menang gelaran Best of the Best

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 11 OGOS – Dalam banyak kucing yang menawan dan unik yang membuat penampilan memukau orang ramai, Oggy berjaya menambat hati juri dan merebut kembali gelarannya sebagai Best of the Best dalam Pertandingan Kucing tahunan untuk baka tempatan dan campuran anjuran Pertubuhan Perkumpulan Wanita Brunei Darussalam (WI) di Daerah Belait hari ini.

    Pertandingan yang berlangsung di Dewan Bandaran Kuala Belait dan Seria itu menyaksikan 12 kucing bersaing dalam pelbagai kategori, termasuk spesies baka parsi, siam, campuran dan biasa.

    Kucing-kucing dinilai oleh para panel berdasarkan beberapa kriteria utama, seperti kucing paling sihat, paling besar, bulu paling cantik, kucing paling cantik, paling fotogenik, paling unik dan anugerah Best of the Best.

    Pengerusi acara, Hajah Julia binti Chee berkata kategori berkenaan menonjolkan aspek terbaik kucing sementara menyatakan penghargaan atas usaha dan penjagaan yang dilakukan oleh pemiliknya.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada pertandingan itu ialah isteri Pemangku Pegawai Daerah Belait, Dayang Khairunnisa binti Abdul Ghani sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

    Oggy bersama keluarga pemilik menerima anugerah Best of the Best dalam pertandingan tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Yayang bersama hadiah yang dimenangi. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Tetamu kehormat bersama salah seekor kucing dan tuan punya dalam pertandingan tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    Anugerah Best of the Best bukan sahaja dimenangi Oggy malah turut menerima Anugerah Kucing Terbesar dan menduduki tempat pertama dalam Kategori Parsi. Oggy sebelum ini memenangi gelaran Best of the Best pada tahun 2022.

    Begitu juga, pemegang gelaran untuk Best of the Best pada 2023, Yayang turut membuat penampilan pada tahun ini, menyaksikannya menerima Anugerah Kucing Paling Fotogenik dan menduduki tempat kedua dalam Kategori Siam.

    Sementara itu, Alya, Molly, Yuan dan Tiara turut memenangi anugerah Kucing Paling Sihat, Bulu Paling Cantik, Paling Cantik dan Kucing Paling Unik.

    Dalam kategori spesies, Molly mendapat tempat pertama bagi Kategori Baka Campuran, manakala Komander dan Alya masing-masing menduduki tempat pertama dalam Kategori Siam dan Biasa.

    Pertandingan itu merupakan acara tahunan yang diadakan oleh WI bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ke-78 tahun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda