PARIS, 9 SEPT – Kebakaran hutan dahsyat dan gelombang haba terik semasa Ogos ketiga terpanas dunia, sekali gus menekankan lagi keperluan untuk menangani perubahan iklim serta bersiap menghadapi kesannya yang membinasakan, menurut pemantau pemanasan global Eropah hari ini.
Eropah ketika ini sedang mengalami gelombang haba musim panas ketiga, dalam masa yang sama berdepan dengan kebakaran hutan di Sepanyol dan Portugal. Banyak kawasan di Asia turut mengalami suhu melebihi purata sepanjang bulan yang terik dan hampir mencatatkan rekod tertinggi.
Lautan dunia, yang membantu mengawal iklim bumi dengan menyerap haba berlebihan dari atmosfera, juga hampir mencapai suhu tertinggi yang pernah dicatat untuk bulan tersebut dan lautan yang lebih panas dikaitkan dengan peningkatan ekstrem cuaca.
Suhu global semakin meningkat akibat pelepasan gas pemanasan oleh manusia, terutamanya dari bahan api fosil yang dibakar secara besar-besaran sejak revolusi industri.
Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus EU mengukur data tersebut menggunakan berbilion bacaan satelit dan cuaca, baik di darat mahupun di laut, dan data mereka merangkumi sehingga tahun 1940.

Suhu purata global bagi bulan Ogos adalah 1.29 darjah Celsius lebih tinggi daripada zaman pra-industri, sedikit lebih sejuk daripada rekod bulanan yang dicatatkan pada 2023 dan setara dengan 2024.
Meskipun kenaikan kecil sebegini mungkin kelihatan remeh, namun saintis memberi amaran suhu tersebut boleh menjejaskan kestabilan iklim serta menjadikan ribut, banjir dan bencana lain lebih kerap dan lebih kuat berlaku.
Di samping itu, Sepanyol turut mengalami gelombang haba selama 16 hari yang mengakibatkan lebih 1,100 kematian, menurut Institut Kesihatan Carlos III. Kebakaran hutan di Sepanyol dan Portugal telah memaksa ribuan orang dipindahkan.
Minggu lepas, saintis berkata perubahan iklim yang disebabkan manusia menjadikan keadaan panas, kering dan berangin yang memburukkan kebakaran 40 kali lebih berkemungkinan berlaku.
Di luar Eropah, suhu paling tinggi melebihi purata dicatatkan di Siberia, beberapa bahagian Antartika, China, Semenanjung Korea, Jepun dan Timur Tengah. – AFP

