Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ogy nasihat pelakon idam Oscar baiki lakonan

    Seniwati Fauziah Ahmad Daud menasihati pelakon lelaki yang berhasrat untuk merangkul trofi Anugerah Akademi atau Oscar memperbaiki lakonannya jika mahu mencapai impian berkenaan.

    Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy berkata, dia melihat segelintir pelakon baharu hanya sekadar melontarkan dialog namun tidak benar-benar menyelami watak yang dibawa.

    “Sebenarnya tidak salah jika kita berfikiran jauh secara global tetapi saya pernah menonton lakonan pelakon ini. Terus terang saya ingin berkata daripada seorang seniwati, banyak sangat yang dia harus pelajari. Apabila anda melafazkan dialog dan bagaimana anda masuk ke dalam watak yang diberikan untuk melontarkan dialog. Kalau saya cakap lebih-lebih, pelakon itu mungkin tak faham. Tapi ramai (pelakon) yang hanya melontarkan dialog namun tidak memasuki ke dalam watak itu,” katanya kepada mStar.

    Ogy berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media pementasan teater Di Sebalik Topeng yang diadakan di Store Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur pada petang kelmarin.

    Dalam pada itu, Fauziah menyarankan aktor berkenaan untuk mencari jiwa dalam lakonannya bagi memantapkan kemahiran dan ilmu pengetahuan sebagai seorang anak seni.

    “Banyak lagi pelakon itu kena belajar, selongkar lagi diri kerana bila mahu masuk ke dalam satu watak itu bukan hanya melihat pada ciri karakter tetapi secara keseluruhannya.

    “Minda perlu berfikir, jiwa harus ada rasa, pernafasan, pergerakan, rasa tubuhnya semuanya perlu diambil kira. Jadi banyak perkara yang perlu dilakukan bukan hanya berlakon semata-mata,” ujarnya.

    Pun begitu, pelakon filem Azura ini berkata dia sama sekali tidak memandang rendah hasrat pelakon berkenaan untuk merangkul anugerah di peringkat luar negara. Malah, Ogy menyokong pelakon tersebut untuk terus berusaha gigih dalam merealisasikan impiannya itu dan membuktikan kepada warganet bahawa tiada apa yang mustahil.

    “Jika itu adalah impiannya kerana impian itu percuma tetapi sekiranya anugerah itu yang adik inginkan, berusaha keras untuk dapatkannya. Buktikan yang awak boleh menang anugerah Oscar, insya-Allah tapi kena belajarlah jangan main asal boleh sahaja. Jangan rambut sahaja nak kena cantik, pakai kanta lekap, lakonan bukan hanya itu (jaga penampilan) sahaja adik. All the best adik,” jelasnya.

    Bukan itu sahaja, Ogy juga berkata untuk meraih kejayaan itu memerlukan pengalaman berpuluh tahun mengambil contoh bintang ternama seperti Leonardo DiCaprio dan Tan Sri Michelle Yeoh.

    “Awak (pelakon) juga perlu ingat Leonardo mengambil masa berpuluh tahun untuk merangkul anugerah Oscar pertamanya. Begitu juga Brad Pitt, Al Pacino dan pelakon negara kita, Michelle Yeoh.

    “Mempunyai impian itu adalah bagus saya mengalu-alukan. Jadi jika awak menyimpan impian tersebut, awak perlu buat sesuatu jangan hanya berkata-kata. Mulakan cari ilmu di dalam bidang lakonan, barulah awak akan menghargai seni ini,” katanya lagi. – Agensi

    Ogy tegaskan setiap lakonan perlu ada jiwa dalam watak yang dibawa. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda