Pelakon drama bersiri Squid Game iaitu Oh Young Soo merayu hukuman untuk kes salah laku seksualnya sebelum ini diringankan.
Pada 29 Ogos lalu, Mahkamah Daerah Suwon mengadakan perbicaraan pertama rayuan Young Soo dan peguam mewakili aktor itu berpendapat hukuman yang diberikan sangat berat.
Menurut mStar, peguam tersebut mengatakan bahawa hukuman lapan bulan dengan penggantungan selama dua tahun adalah terlalu keras memandangkan dia sudah ‘dihukum’ oleh peminat atas tindakannya.
“Defendan disingkirkan daripada pelbagai projek filem dan sudah menghadapi penelitian sosial kerana kes ini,” kata peguam.
Pada November 2022, aktor berusia 80 tahun itu didakwa kerana memeluk seorang pelakon secara tidak wajar, memegang tangan dan mencium pipi.
Menafikan pertuduhan itu, Young Soo bagaimanapun didapati bersalah pada Mei lalu.
Gara-gara kontroversi itu, Young Soo dilarang daripada muncul di saluran KBS.
Malah karakter Young Soo juga digantikan oleh pelakon Lee Soon Jae untuk watak sami Buddha dalam K-Movie, About Family walaupun dia telah menyelesaikan penggambaran adegannya pada ketika itu.
Perbicaraan mahkamah seterusnya dijadualkan pada 29 Oktober depan. – Agensi