JEDDAH, 25 OGOS – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menegaskan bahawa pengisytiharan kebuluran merupakan amaran kritikal mengenai krisis kemanusiaan, politik dan undang-undang pelbagai dimensi, sekali gus memerlukan campur tangan antarabangsa yang segera serta luar biasa, lapor agensi berita Qatar (QNA).
OIC menggesa pelaksanaan semua protokol kecemasan antarabangsa yang tersedia bagi memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan dan makanan dengan pantas, selamat dan tanpa halangan kepada orang awam yang terjejas di Semenanjung Gaza.
Dalam satu kenyataan, OIC menekankan keperluan untuk merujuk situasi berkaitan jenayah akibat sekatan dan kebuluran yang disengajakan oleh Israel, serta kebuluran yang berlaku di Gaza ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
OIC turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya menunaikan tanggungjawab undang-undang, politik dan moral dengan mengambil tindakan tegas, termasuk mengenakan sekatan terhadap Israel selaku kuasa pendudukan, menghentikan bekalan atau pemindahan peralatan ketenteraan kepada rejim itu, serta memperkukuh mekanisme keadilan antarabangsa bagi memastikan Israel bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Selain itu, OIC sekali lagi menyeru masyarakat antarabangsa supaya menekan rejim Israel menghentikan segera semua bentuk pencerobohan dan kepungan di Semenanjung Gaza. – Bernama


