Thursday, May 2, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    OIC kecam pencabulan berterusan Israel

    KUALA LUMPUR, 11 JAN – Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kelmarin mengecam pencabulan berterusan Israel ke atas Masjid Al-Aqsa dan menggesa usaha ke arah melindungi Al-Quds Al-Sharif.

    OIC dalam satu kenyataan memaklumkan mesyuarat itu diadakan di ibu pejabatnya di Jeddah dengan Arab Saudi bertindak sebagai penyelaras, dan selaku pengerusi Sidang Kemuncak Islam dan Jawatankuasa Eksekutif atas permintaan Palestin dan Jordan.

    Menurut kenyataan itu, Setiausaha Agung OIC, Hissein Ibrahim Taha menegaskan bahawa tindakan Israel baru-baru ini mencetuskan provokasi terhadap perasaan umat Islam di seluruh dunia, serta melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

    Dalam ucapannya pada mesyuarat itu, beliau menegaskan bahawa pencabulan ini akan mencetuskan keganasan dan ketegangan serta menjejaskan kestabilan di rantau ini.

    “Setiausaha Agung menggesa tindakan antarabangsa yang dapat memaksa Israel menghentikan pencabulan serius demi mengekalkan sejarah dan status quo Masjid Al-Aqsa sedia ada sebagai tempat ibadat umat Islam sahaja,” menurut kenyataan itu.

    Taha menjelaskan beliau menghubungi organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kesatuan Eropah dan menyampaikan pendirian OIC dalam hal ini.

    Beliau juga menggesa organisasi antarabangsa memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan pencabulan terhadap Masjid Al-Aqsa. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...