KUALA LUMPUR, 5 Jan – Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Dr Yousef A. Al-Othaimeen telah mengutuk serangan bom bunuh diri di sebuah masjid dalam pekan Gamboru Gala di timur laut Nigeria pada Rabu, yang meragut 14 nyawa dan mencederakan berpuluh-puluh orang lagi.
Al-Othaimeen menzahirkan kesedihan beliau terhadap beberapa siri serangan Boko Haram dan kaedah yang digunakan oleh puak pelampau untuk menakut-nakutkan penduduk tidak bersalah di kawasan itu.
OIC berdiri teguh dalam solidariti dengan rakyat yang terjejas dan menggesa kerajaan Nigeria serta agensi keselamatan mempertingkatkan usaha mereka dalam memerangi keganasan Boko Haram di rantau itu, menurut pertubuhan tersebut dalam satu kenyataan hari ini. – Bernama