Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    OIC, negara Arab kecam tindakan menteri Israel ceroboh masjid

    ANKARA/ISTANBUL, 4 OGOS – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan beberapa negara Arab kelmarin mengecam keras siri provokasi berulang Israel di kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, susulan pencerobohan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, ke kawasan suci itu.

    Menurut laporan agensi Anadolu, Ben-Gvir mengetuai sekumpulan besar pendatang Yahudi menceroboh kompleks masjid itu kelmarin sempena sambutan perayaan Yahudi Tisha B’Av.

    Dalam satu kenyataan, OIC menyifatkan tindakan Ben-Gvir sebagai sebahagian daripada usaha Israel ‘untuk mengubah status quo dan undang-undang Masjid Al-Aqsa.’

    Pertubuhan yang berpangkalan di Jeddah itu turut menggesa masyarakat antarabangsa agar segera mengambil tanggungjawab menghentikan pelanggaran serius Israel yang menyasarkan tapak-tapak suci Islam dan Kristian di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

    Kementerian Luar Arab Saudi pula memberi amaran bahawa tindakan provokatif oleh pegawai kerajaan Israel di Masjid Al-Aqsa ‘hanya akan menyemarakkan lagi konflik di rantau ini.’

    Kerajaan Arab Saudi menegaskan tindakan sedemikian ‘melanggar undang-undang dan norma antarabangsa’ serta menjejaskan segala usaha ke arah perdamaian. – Bernama

    Gambar fail bertarikh 3 Januari 2023 menunjukkan Ben-Gvir semasa menghadiri mesyuarat Kabinet mingguan di Baitulmaqdis. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda