Monday, February 24, 2025
21.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    OIC, UNESCO bendung kemusnahan warisan budaya

    KUALA LUMPUR, 7 Nov – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bersedia berkerjasama dengan Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), dalam mengatasi kemusnahan dan penyelewengan ke atas warisan budaya di negara terjejas akibat konflik bersenjata.

    Setiausaha Agung OIC Dr. Yousef Al-Othaimeen semasa berucap pada Persidangan Umum UNESCO ke-39 di Paris semalam, memuji langkah pertubuhan itu agar usaha melindungi warisan kebudayaan dimasukkan dalam program dunia serta tugasan misi pengaman.

    Menerusi kenyataan disiarkan dalam laman web OIC, Setiausaha Agung itu berkata, antara topik yang menjadi keutamaan OIC adalah memerangi fenomena keganasan dan faham pelampau serta menangani fahaman fanatik terhadap agama dan mazhab.

    Lantaran itu, beliau berkata OIC melancarkan projek Suara Kesedaran bermotifkan usaha memerangi gerakan pengganas dan menyebarkan konsep toleransi serta kesederhanaan.

    Dr. Yousef Al-Othaimeen memuji langkah pertubuhan OIC agar usaha melindungi warisan kebudayaan dimasukkan dalam program dunia. – AFP

    Selain itu, OIC berusaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia berhubung bahaya menyertai kumpulan pengganas.

    Beliau turut mengecam dasar pendudukan dan percubaan berterusan Israel di Baitulmaqdis untuk mengubah dan menyusun susunan demografi dengan tujuan mengasingkannya dari Palestin.

    Justeru, beliau menggesa UNESCO untuk mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan perlindungan dan pemeliharaan warisan sejarah dan kebudayaan Palestin selain menekan Israel betapa perlunya menamatkan pencabulan terhadap wilayah berkenaan.

    Pada masa sama, beliau mengulangi pentingnya untuk melihat pelaksanaan semua resolusi dan keputusan UNESCO berkaitan dengan wilayah Palestin yang diduduki. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda