Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam, kelmarin telah mengadakan perbincangan meja bulat bersama para pemimpin dari 32 buah institusi akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memulakan Program Juara Remaja Kesihatan Mental selama enam minggu bertajuk ‘OK Kah Kita?’.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam, program berkenaan akan menghimpunkan lebih 100 orang pemuda Brunei dan kaunselor sekolah untuk mendengar daripada NGO Australia yang berusaha menangani masalah kesihatan mental.
Semasa perbincangan itu, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Tiffany McDonald menyentuh mengenai inspirasi di sebalik ‘OK Kah Kita?’ iaitu daripada sebuah NGO Australia bernama R U OK? Day yang diasaskan pada 2009 oleh Gavin Larkin OAM dari Australia yang kehilangan ayahnya kerana membunuh diri.
Beliau berkata, pandemik COVID-19 telah memburukkan lagi kesihatan mental ramai orang, hingga dianggap sebagai shadow pandemic.
Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menganggarkan bahawa orang muda 30 hingga 80 kali lebih mungkin mengalami kemurungan dan kegelisahan kerana COVID-19 berbanding orang dewasa.

“Sekarang, lebih dari sebelumnya, adalah penting untuk saling bertanya seperti OK Kah Kita?.
“Harapan kami ialah Program Juara Remaja Kesihatan Mental ini memberi peluang kepada anak muda Brunei untuk memulakan perbualan dengan rakan sebaya dan memecahkan stigma yang terlalu sering dikaitkan dengan membicarakan kesihatan mental,” ujarnya.
Peserta meja bulat berkenaan berkongsi refleksi mereka mengenai cabaran kesihatan mental yang dihadapi orang muda di Brunei, terutama dalam konteks COVID-19, serta idea-idea mengenai cara mengatasinya.
Program berkenaan dianjurkan oleh Curious Mind, yang dikendalikan oleh alumni Australia Shaun Hoon.
Program Juara Remaja adalah sebahagian daripada bulan Mental Health Matters bagi suruhanjaya berkenaan dan untuk maklumat lanjut boleh layari akaun Instagram suruhanjaya tersebut.