Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Oki Setiana Dewi tolak tawaran demi perjuangan Gaza

    Teguh dengan pendirian, pelakon Indonesia Oki Setiana Dewi sanggup menolak beberapa tawaran kerja dengan bayaran tinggi yang dikaitkan dengan produk atau syarikat berkepentingan Israel sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

    Memetik laporan Kosmo! Online, Oki, 36, keputusan tersebut dibuat atas kesedaran peribadi untuk terus istiqamah menyokong Palestin walaupun terpaksa berhadapan dengan kehilangan peluang besar dalam kerjaya.

    “Banyak tawaran kerja yang berkaitan Israel terpaksa saya tolak walaupun bayaran yang ditawarkan sangat tinggi, dengan alasan yang sama”.

    Katanya lagi, “sebagai seorang manusia biasa, kalau ditanya sama ada saya perlukan wang, ya sudah tentu. Saya juga ada tanggungjawab seperti membayar yuran sekolah anak-anak dan keperluan hidup yang lain tetapi saya tidak mampu menipu diri sendiri”.

    “Dalam hati, saya sangat ingin membantu dan menyokong Gaza, cuma saya tidak tahu bagaimana caranya. Jadi, saya hanya lakukan apa yang termampu,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis tayangan filem Hayya 3: Gaza, baru-baru ini.

    OKI sanggup menolak beberapa tawaran kerja dengan produk dan syarikat berkepentingan Israel sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin. – KOSMO! ONLINE

    Tambah pelakon filem Ketika Cinta Bertasbih itu, meskipun pendiriannya menyokong Gaza sudah diketahui ramai namun masih ada pihak yang tetap menawarkan pekerjaan dengan imbuhan tinggi.

    “Sebenarnya, mereka semua sudah tahu bahawa saya berada di pihak yang menyokong Gaza, namun begitu, ada beberapa tawaran kerja yang datang kepada saya dengan bayaran yang sangat lumayan.

    “Mungkin kerana mereka melihat saya sebagai seorang figura Islam, jadi mereka rasa sesuatu yang baik untuk melibatkan saya.

    “Walaupun mereka tahu pendirian saya yang menyokong Gaza, mereka tetap menawarkan pekerjaan-pekerjaan tersebut,” ujarnya lagi.

    Dalam perkembangan lain, Oki terlibat dalam filem Hayya 3: Gaza yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia pada 30 Oktober ini.

    Selain Oki, filem yang diarahkan Jastis Arimba terbitan Warna Pictures & 786 Productions tersebut turut dibintangi oleh Amna Shahab, Azamy Shauqi, Cut Syifa dan Adhin Abdul Halim. – KOSMO! ONLINE

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda