TOKYO, 30 Sept – Penduduk Okinawa sedang mengundi seorang gabenor baharu hari ini dalam pilihan raya yang dilihat sebagai penting untuk masa depan kehadiran tentera Amerika Syarikat (AS) di pulau Jepun yang strategik itu.
Tinjauan pendapat terbaharu mencadangkan persaingan sengit antara dua calon dengan pendapat bercanggahan mengenai pembinaan pangkalan tentera AS di pulau separa tropika itu.
Atsushi Sakima, 54, disokong oleh Parti Liberal Demokratik pimpinan Perdana Menteri Shinzo Abe, yang telah lama mendesak Okinawa supaya menerima pangkalan tentera udara baharu itu.
Mencabar beliau adalah Denny Tamaki, anak lelaki seorang Marin AS yang sebelum ini berkhidmat sebagai penggubal undang-undang pembangkang dan telah berkempen menentang pangkalan baharu itu.
Pilihan raya diadakan selepas kematian gabenor Takeshi Onaga pada bulan lalu yang, dengan sokongan penduduk tempatan, telah berusaha menentang projek AS-Jepun untuk memindah Stesen Tentera Udara Futenma Marin AS satu kawasan bandar ke kawasan yang tidak mempunyai penduduk padat di pulau berkenaan.
Onaga, yang meninggal dunia selepas bergelut dengan penyakit kanser, berkata bebanan penempatan pangkalan AS mesti dikongsi sama rata di seluruh Jepun.
Okinawa menyumbang kepada kurang satu peratus daripada jumlah kawasan tanah di Jepun, tetapi menjadi kediaman bagi kira-kira 28,000 tentera AS, lebih separuh daripada kira-kira 47,000 kakitangan tentera Amerika yang ditempatkan di Jepun.
Bunyi bising, kemalangan dan jenayah oleh tentera dan anggota kakitangan awam AS telah lama mengecewakan penduduk tempatan, sementara majlis perbandaran di seluruh negara enggan berkongsi bebanan Okinawa.
Onaga telah berusaha untuk menyekat usaha untuk menebus guna tanah untuk kemudahan luar pesisir baharu itu, dan beliau dan kerajaan nasional memfailkan tindakan guaman untuk berusaha menyelesai isu tersebut. Mahkamah Agung memutuskan menyokong kerajaan. – AFP