BANDAR PERMAISURI – Biarpun hanya tangan kirinya sahaja yang dapat digunakan, wanita muda ini terus cekal dan gigih menyiapkan tempahan baju raya para pelanggannya.
Nur Fadhilah Mahmud, 27, yang mengalami kecacatan kekal pada tangan dan kaki kanannya sejak lahir tetap bersyukur dikurniakan kemahiran menjahit pelbagai fesyen busana Melayu yang menjadi sumber pendapatannya.
“Tangan sebelah kanan saya tidak dapat berfungsi dan kaki kanan pula sedikit bengkok membuatkan saya tidak dapat berjalan tegak seperti orang lain, disebabkan itu apabila memotong kain saya akan memotong di lantai menggunakan tangan kiri dengan sokongan kaki.
Bagi ukuran baju pelanggan, saya minta mereka membawa baju contoh untuk diambil ukuran saiz kerana saya tidak boleh mengukur badan mereka seperti yang dilakukan oleh tukang jahit yang lain,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Felda Chalok Rahmat, di sini.
Walaupun mengalami kekangan fizikal, gadis manis yang tidak pernah lekang dengan senyuman itu mampu menyiapkan dua pasang pakaian sehari.
Tetapi baju Melayu pula mengambil masa yang agak lama ekoran penghasilannya yang agak rumit, katanya.
Demi menjaga kualiti jahitannya Nur Fadhilah hanya mengambil 50 pasang tempahan pakaian raya untuk tahun ini dengan bayaran upah RM30 hingga RM90 sepasang mengikut jenis pakaian.
“Selalunya setiap pelanggan akan tempah lebih daripada dua pasang baju dan ada sehingga tujuh pasang, disebabkan itu saya terpaksa mengehadkan jumlah pakaian yang diterima kerana risau akan mengecewakan pelanggan sekiranya baju yang ditempah tidak sempat disiapkan sebelum hari lebaran.
“Alhamdulillah setakat ini tiada pelanggan yang merungut atau tidak puas hati. Mereka pun faham, dan saya akan berterus terang jenis perkhidmatan yang mampu saya buat,” katanya.
Mengimbas detik permulaan sebagai tukang jahit tiga tahun lalu, Nur Fadhilah berkata pada awalnya beliau hanya menjahit pakaian untuk keluarga sahaja, namun apabila ada kalangan jiran-jiran yang datang ke rumah dan melihat hasil jahitannya, mereka memintanya untuk menjahitkan pakaian mereka.
Daripada situ hasil kerja tangannya menjadi buah mulut dan mula menerima tempahan dari jauh, malah ada yang sanggup datang dari Kuala Terengganu untuk mendapatkan khidmatnya.
“Kebanyakan yang datang (pelanggan) terdiri daripada pelanggan tetap yang telah biasa menempah pakaian dengan saya,” katanya.
Anak kelima daripada tujuh beradik itu pada asalnya bercita-cita untuk menjadi seorang guru namun cita-citanya berubah apabila berjaya menyiapkan sepasang baju kurung ketika mengikuti kursus menjahit di pusat latihan GiatMara di Setiu.
“Pada waktu itu selepas habis STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) dan saya hanya mengikuti kursus menjahit di GiatMara sekadar suka-suka.
Tetapi apabila dapat siapkan sepasang baju kurung saya rasa teruja dan tidak sangka OKU (orang kelainan upaya) seperti saya mampu menghasilkan sesuatu,” katanya. – Bernama