SEGAMAT – Kegigihan lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang lumpuh akibat kemalangan jalan raya sejak 30 tahun lepas menghasilkan produk kraf berasaskan kulit sebagai sumber rezeki, perlu dijadikan contoh kerana kini perniagaannya di Felda Tenang di sini, mendapat sambutan ramai.
Jaafar Athan, 55, yang memulakan penghasilan produk kulit pada 2010, bermodalkan RM450 bagi membeli barangan asas pembuatan kraf itu berkata antara barangan telah dihasilkan termasuk tali pinggang, dompet, beg dan pemegang kad sehingga mampu menjana pendapatan lebih RM2,000 setiap bulan.
“Hampir dua tahun saya buntu apabila disahkan lumpuh selepas kemalangan pada 1993, kemudian saya memulakan aktiviti tanaman lada, namun saya terpaksa berhenti menanam lada kerana kesukaran untuk bergerak bagi menguruskan tanaman tersebut memandangkan saya hanya berkerusi roda.
“Atas nasihat rakan-rakan, mereka menggalakkan saya bekerja secara indoor. Sebab itulah saya menceburi bidang kraf ini selepas mempelajarinya daripada rakan dan tutorial di YouTube,” katanya ketika ditemui Bernama pada program Majestic Johor Durian Retreat Bersama Media anjuran Tourism Johor di sini baru-baru ini.
Apabila perniagaan yang dibuat secara kecil-kecilan itu mendapat sambutan, dia nekad membuka sebuah galeri Kraf Kulit Jaafar Enterprise di Felda Tenang pada 2012 dan sejak itu galerinya sering menjadi tumpuan pelancong.
Menurutnya produk kraf yang dihasilkan adalah daripada pelbagai kulit haiwan antaranya lembu, kambing, kerbau dan kuda dengan setiap tempahan dibuat berdasarkan kreativiti sendiri, mengikut trend gaya selain memenuhi kehendak pelanggan.
Atas kecekalan dan usaha keras yang dilakukan sejak 13 tahun lepas itu, Jaafar berjaya merangkul pelbagai anugerah termasuk Tokoh OKU Peringkat Negeri Johor 2018 dan pemenang tempat ketiga Kategori Aneka Kraf dalam Pertandingan Seni Kreatif Jauhar Collection. – Bernama
