Oleh Amri HTZ
Masyarakat zaman kini sudah tidak asing lagi dengan penggunaan telefon mudah alih sama ada daripada golongan muda mahupun yang berusia.
Selain sebagai alat untuk komunikasi, ia juga digunakan untuk merakamkan gambar, menyimpan dan mendapatkan maklumat, malahan dijadikan ‘mini televisyen’ untuk menonton video.
Namun pernahkah terjadi ketika asyik menonton drama diminati tetapi terpaksa menghentikannya kerana terlalu lenguh untuk memegang telefon mudah alih atau kerap terjatuh ketika menyandarkannya pada sesuatu? Salah satu penyelesaiannya adalah mereka stand telefon khusus untuk meletakkannya yang boleh memberikan lebih keceriaan kepada hari anda.
Persiapan itu penting
Apa yang diperlukan bagi membuatnya ialah kepingan akrilik, blow torch atau gas stove mudah alih, kepingan papan MDF atau papan lapis, sarung tangan pelindung, kaca mata pelindung, gergaji besi, pengepit kayu, kain bersih atau kertas tisu, pemetik api, pelindung pernafasan, pita pengukur dan kertas pasir serta pen penanda (temporary marker).
Sepintas lalu
Projek melentur akrilik merupakan langkah yang mudah jika dilakukan dengan teknik yang betul. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk membentuknya tetapi pada projek ini, penggunaan haba daripada blow torch atau dapur gas mudah alih bersaiz kecil akan digunakan.



Proses membentuk menggunakan haba sebenarnya satu proses memanaskan akrilik sehingga ia cukup lembut untuk dibengkokkan, diputar dan sebagainya menjadikan bentuk yang berlainan. Pelbagai metode boleh digunakan sama ada secara bebas (free hand), menggunakan acuan atau sesuatu untuk dijadikan acuan untuk menghasilkan bentuk yang tertentu.
Projek yang cukup mudah dan murah dan tidak memerlukan peralatan khusus menjadikannya sesuatu yang boleh dilakukan oleh semua orang, setentunya memerlukan kaedah cuba-cuba (trial and error) sebelum berjaya.
Mudah untuk dilakukan tanpa mengira gender
Sebelum memulakan langkah pertama pembuatan, rancang terlebih dahulu bentuk apa yang diperlukan di mana dalam projek ini, stand telefon mudah alih akan direka bagi memudahkan menonton drama diminati tanpa merasa lenguh memegangnya untuk jangka waktu yang panjang.
Dengan menandakan akrilik yang telah disediakan (gunakan sekurang-kurangnya akrilik berketebalan 2mm) dengan ukuran panjang 37sm dan lebar 10sm, potong kawasan garisan yang telah ditandakan menggunakan gergaji besi. Penggunaan gergaji kayu pada proses ini kurang digalakkan memandangkan mata potongnya yang terlalu kasar menjadikan permukaan potongan tidak rata.
Selain itu, mata pemotong yang terlalu besar juga akan menyukarkan proses potongan di mana anda mungkin berdepan dengan situasi di mana gergaji mudah tersekat atau sukar untuk menarik atau menyorongnya. Ini setentunya menjengkelkan dan banyak menghabiskan tenaga.
Setelah memotongkannya, bersihkan permukaan potongan menggunakan kertas pasir berukuran 150 grit diikuti dengan 400 grit. Bagi bahagian yang sukar dibuangkan, penggunaan pisau utiliti juga mampu meratakan permukaan potongan.
Permukaan akrilik yang terjual pada kebiasaannya mempunyai lapisan kertas atau plastik bergam dilekatkan pada permukaan depan dan belakang bagi melindunginya daripada risiko tercalar. Jika ia berlaku (calar), ia setentunya memberikan impak kepada hasil rekaan.
Namun pelindung permukaan ini perlu ditanggalkan ketika proses memanaskan permukaan akrilik bagi melenturkan atau membentuknya. Jika tidak, haba terhasil daripada api akan menjadikannya terbakar sekali gus membahayakan anda.
Tandakan permukaan akrilik daripada bahagian hujung dengan ukuran 3sm, 16sm (selepas ukuran 3sm sebelumnya), 2sm (selepas ukuran 16sm) dan 16sm. Bahagian yang telah ditandakan ini merupakan panduan untuk anda melenturkannya menggunakan kepingan papan nanti.
Dengan menyediakan kepingan papan lapis atau MDF pada ruangan kerja, dua keping untuk mengepit seperti sandwic dan sekeping lagi berfungsi sebagai pembentuk, panaskan bahagian bawah akrilik pada bahagian yang telah ditandakan.
Proses memanaskan akrilik perlu diambil perhatian. Terlalu dekat dengan api akan menjadikannya berbuih, rosak malahan terbakar. Terlalu jauh, memakan masa lama untuknya panas dan melentur. Lakukan proses pemanasan pada jarak kira-kira lima inci dengan gerakan menyeluruh (tidak menumpukan satu tempat) pada bahagian yang ditandakan.
Lakukan proses memanaskan akrilik di ruangan yang mempunyai pengudaraan dan elakkan di ruangan yang tertutup. Ini dikhuatiri hasil daripada proses pemanasan akrilik boleh menghasilkan wasap yang mungkin boleh memudaratkan kesihatan walaupun dengan pemakaian pelindung pernafasan.
Jika langkah pemanasan dilakukan betul, ini boleh dikenali dengan cara melihat akrilik yang dipanaskan akan sendirinya melentur. Ketika ini, cepat-cepat letakkannya pada bahagian tengah di antara dua keping papan lapis dengan bahagian yang telah ditandakan berada tepat pada bahagian hujung papan yang mengepitnya. Sekeping papan lagi akan digunakan untuk membentuk akrilik dan tunggu sehingga akrilik sejuk sebelum melepaskan papan pembentuk.
Untuk bahagian 2sm yang ditandakan, sudut lenturan 55 darjah diperlukan untuk memastikan stand yang direka seimbang. Sudut yang terlalu lebar (darjah) akan menjadinya terlalu rendah dan terlalu kecil akan menjadikannya kurang seimbang ketika didirikan. Jika rekaan belum menepati sasaran, membentuknya semula dengan cara memanaskannya masih boleh dilakukan. Selamat mencuba!