SHANGHAI – Li Minsheng adalah salah seorang ahli junior dari kumpulan ‘Old Jazz Band’ di Fairmont Peace Hotel, Shanghai. Dia berusia 76 tahun.
Sering digambarkan sebagai kumpulan jaz tertua di planet ini dan pernah direkodkan dalam Guinness World Records. Sekumpulan enam orang ahli ini ada yang berusia 63 tahun sehinggalah pemain trumpet berusia 97 tahun.
Mereka adalah sebuah institusi di Shanghai dan merupakan sebuah kumpulan yang unik di negara yang semakin pesat membangun itu.
“Saya telah melakukan persembahan muzik jaz ini selama sekurang-kurangnya 40 tahun,” kata Li, seorang saksofonis alto, berwajah ceria, memberitahu AFP.
“Saya mendapat seksofon ini pada tahun 1960an dan telah memainkannya sejak dari itu.”
Dilahirkan semasa zaman kekacauan dan peperangan berikutan dengan pencerobohan Jepun pada lewat tahun 1930-an, Li – seperti masyarakat Cina lain seusianya – telah menyaksikan perubahan yang luar biasa.
“Saya mula bermain muzik jaz dan membuat persembahan selepas pembukaannya,” kata Li, merujuk kepada pembaharuan ekonomi yang dilancarkan pada akhir tahun 1970-an oleh Deng Xiaoping yang memacu China sehingga menjadi ekonomi kedua terbesar dunia pada hari ini.
“Kami tidak dapat bermain sebelum ‘pembukaan’ itu disebabkan oleh keadaan politik,” kata Li, sebelum dia melangkah pergi ke panggung untuk membuat persembahan dengan memakai teli leher merah, berkemeja dan jaket putih dan berseluar hitam. Ini bermakna mereka melakukannya secara rahsia di rumah pada ketika itu.
“Pada masa itu saya akan bermain di rumah dan menikmatinya sendiri. Saya tidak bermain di luar.”
Jaz lebih mudah dikaitkan dengan New Orleans atau New York berbanding Shanghai, tetapi bandar China itu mempunyai satu warisan yang dapat dibanggakan. Peace Hotel juga, yang siap pada tahun 1929 adalah salah satu contoh utama dalam seni bina Art Deco di kawasan pinggir bandar bersejarah Shanghai.
Bar di mana ‘Old Jazz Band’ itu mengadakan persembahan adalah sebuah pub klasik bergaya-Inggeris dan ianya masih mengekalkan suasana antik dengan bangku-bangku barnya, ruangan berkayu gelap dan aroma ‘lama’ di dalamnya.
Semasa zaman kegemilangan Shanghai pada tahun 1930, bar telah menjadi persembahan muzik jaz yang terkenal – yang muncul di bandar itu pada zaman tersebut di mana pemuzik-pemuzik dari Amerika Syarikat dibawa untuk bermain di kelab malam – yang hanya dikenali sebagi ‘The Jazz Bar’.
Kemudian peperangan meletus, pengambilalihan Komunis 1949, dan pergolakan politik Revolusi Kebudayaan 1966-76, apabila kempen ganas terhadap apa-apa yang bersangkutan dengan luar negara atau bahkan mendengar muzik jaz adalah satu hobi yang merbahaya.


Kemunculan dari semua itu, ‘Old Jazz Band’, yang cuba untuk menghidupkan semula bar tahun 1930-an itu, telah menjadi artis di hotel tersebut sejak dari tahun 1980. Bekas presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dan Ronald Reagan adalah di antara tokoh-tokoh yang telah turun dan menikmati serta mendengar persembahan jaz mereka – Clinton, juga ikut serta dalam memainkan alat saksofon.
Kumpulan ini, yang mempunyai usia purata 82 tahun, memainkan apa yang dikenali sebagai ‘jaz lembut’ dan dimasukkan dengan elemen citarasa masyarakat Shanghai.
“Muzik jaz telah datang ke China sedikit demi sedikit,” kata Li, yang telah bersama kumpulan itu selama lebih daripada 30 tahun.
“Selepas ‘pembukaan’ China, kemasukan muzik jaz Barat telah memberi impak yang besar kepada suasana jaz di sini. Dengan menonton persembahan mereka, kami dapat belajar dari mereka dan meningkatkan kreativiti muzik kami.
“Tetapi sudah tentu, berbanding dengan suasana muzik jaz di dunia, kami masih perlukan usaha yang lebih lagi.”
Dan persoalan bernilai berjuta-juta dolar: bilakah Li merancang untuk berhenti bermain alat saksofon ini?
“Secara umumnya, bermain saksofon mempunyai had umur,” katanya sambil tersenyum.
Tetapi selagi dia tetap bersemangat dan orang ramai masih mahu mendengar dan memenuhi bar tersebut, dia merancang untuk meneruskannya.
“Berinteraksi dengan penonton adalah perkara yang paling bermakna buat saya. Tanpa adanya orang untuk mendengar, kami tidak dapat mengadakan persembahan.” – AFP