Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Olimpik Musim Sejuk labuh tirai

    PYEONGCHANG, Korea Selatan, 26 Feb – Dua negara Korea berbaris di belakang bendera masing-masing dan Rusia tidak sabar mengakhiri tegahannya ekoran penyalahgunaan dadah apabila Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang melabuhkan tirainya.

    Pada upacara penutupan beraneka warna, Ivanka Trump duduk berhampiran jeneral Korea Utara yang telah disenaraihitamkan, tetapi tidak seperti pada upacara pembukaan sukan ini, para atlet Korea Utara dan Korea Selatan masuk secara berasingan, dengan mengibarkan bendera kebangsaan masing-masing.

    Bendera Rusia tidak kelihatan selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa mengundi untuk melanjutkan tegahannya berhubung dadah, tetapi para pegawai Rusia berkata mereka menjangka akan kembali kepada sukan itu dalam masa beberapa hari.

    Ivanka, anak perempuan Presiden AS, Donald Trump duduk selang beberapa kerusi dari Kim Yong Chol dari Korea Utara, yang dituduh menjadi ketua perancang serangan ke atas Korea Selatan dan telah disenaraihitamkan oleh Seoul. Ketika upacara berjalan, Rumah Biru presiden Korea Selatan menyampaikan pesan bahawa delegasi Chol berkata Korea Utara ‘sangat bersedia’ untuk mengadakan rundingan dengan Amerika.

    Pertunjukan bunga api menjadi latar belakang api Olimpik semasa upacara penutupan rasmi Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan. – AP

    Itu adalah langkah terbaru untuk berdamai, dari Korea Utara ketika sukan itu, yang mana adik perempuan Kim Jong Un menghadiri upacara pembukaan dan dua negara Korea itu membentuk pasukan gabungan pertama Olimpik, dalam hoki ais wanita.

    Selepas persembahan dron yang berjaya, ekoran cubaan yang terbantut pada upacara pembukaan, presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Thomas Bach menyampaikan pingat dari hari terakhir.

    Pemain ski dari Tonga Pita Taufatofua membuat kemunculan singkat dengan ciri tersendirinya, sebelum Bach mengisytiharkan sukan itu ditutup secara rasminya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda