Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Olimpik Tokyo perlu kos tambahan AS$1.9 bilion

    TOKYO, 29 NOV – Penangguhan Sukan Olimpik Tokyo berikutan pandemik COVID-19 mungkin memerlukan kos tambahan sebanyak AS$1.9 bilion berbanding bajet asal AS$13 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus.

    Penganjur Sukan Olimpik akan memutuskan untuk menambah bajet bagi temasya sukan itu seawal pertengahan bulan depan selepas berbincang bersama kerajaan Jepun dan kota penganjuran Tokyo, lapor Yomiuri Shimbun tanpa mendedahkan sumber maklumat itu.

    Sukan Olimpik 2020 terpaksa ditunda ke tahun hadapan berikutan penularan COVID-19 di seluruh dunia dan kini ia bakal dilangsungkan bermula 23 Julai 2021.

    Bagaimanapun penangguhan itu menyaksikan tambahan kos baharu daripada tempahan semula dan pengangkutan untuk satu komuniti penganjuran temasya sukan besar.

    Dengan kebanyakan negara mengalami gelombang kedua atau ketiga pandemik berkenaan, terdapat keraguan sama ada temasya sukan itu dapat dianjurkan namun pihak penganjur dan pegawai Olimpik menegaskan ia boleh dianjurkan dengan selamat.

    Kos tambahan 200 bilion yen (AS$1.9 bilion) itu tetap ada meskipun pihak penganjur pada bulan lalu memotong AS$280 juta peruntukan dengan mengurangkan bilangan staf sehingga ke pertunjukan bunga api namun angka terbaharu ini tidak termasuk kos berkaitan langkah pencegahan pandemik.

    Pegawai menjangkakan kos berkaitan langkah pencegahan berhubung virus berkenaan akan dibayar oleh kerajaan Jepun, lapor media berkenaan.

    Perancangan untuk langkah pengurangan seperti kos penganjuran didedahkan pada September lalu dengan melakukan pengurangan tiket percuma, pemansuhan sambutan ketibaan atlet dan penjimatan terhadap maskot dan sepanduk.

    Laporan itu muncul selepas seorang pegawai senior berkata, acara ujian Olimpik Tokyo akan dilakukan pada Mac depan dan keputusan mengenai kehadiran penonton bakal dibuat pada musim bunga. – AFP

    Penangguhan Sukan Olimpik Tokyo berikutan pandemik COVID-19 mungkin menelan tambahan kos sebanyak AS$1.9 bilion berbanding bajet asal AS$13 bilion. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda