Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Oliver Healthcare Packaging melabur RM200 juta

    KULAI, 20 FEB – Oliver Healthcare Packaging, sebuah syarikat penjagaan kesihatan global yang beribu pejabat di Amerika Syarikat, melabur RM200 juta untuk menubuhkan kilang pembuatan serantau terbesarnya di Johor.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor Lee Ting Han berkata Oliver Healthcare akan membangun-kan kilang seluas 6,400 meter persegi di i-Tech Valley, Senai, yang merupakan taman perindustrian bersepadu dalam zon ekonomi Iskandar Malaysia.

    Beliau berkata kilang pembuatan itu akan menjadi kilang pertama Oliver di Asia Tenggara.
    “Khususnya bagi syarikat yang berkaitan dengan sektor perubatan, kerajaan negeri Johor mengiktiraf pentingnya mereka dibawa ke negeri ini memandangkan pelaburan seperti ini bukan sahaja meningkatkan ekonomi kita tetapi juga penting dalam mengekalkan bakat,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

    Beliau berkata kemasukan Oliver Healthcare juga akan memudahkan pemindahan teknologi untuk mencapai pertumbuhan yang berkekalan dan mampan di Johor dan Malaysia.

    “Dalam hal ini, kami amat berbesar hati untuk menyatakan bahawa kemudahan pembuatan Oliver Healthcare itu akan menyediakan hampir 450 peluang pekerjaan untuk Bangsa Johor.

    “Pada masa yang sama, kehadiran mereka juga akan membantu menyemai keyakinan pelabur tentang cadangan nilai Johor,” katanya.

    Terdahulu, Lee menghadiri majlis pecah tanah kilang Oliver Healthcare yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Oliver Healthcare Packaging, Michael Benevento.

    Sementara itu, Benevento dalam satu kenyataan berasingan berkata, kilang tersebut dijadualkan dibuka pada suku pertama 2024 dan akan membekalkan produk kepada pangkalan pelanggan Asia-Pasifiknya yang berkembang pesat. – Bernama

    Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor Lee Ting Han (tengah) menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Oliver Healthcare Packaging di i-Park Senai Airport City Sales Gallery hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...