Olivia de Havilland meninggal dunia

Bintang filem epik, Gone With the Wind, Olivia de Havilland meninggal dunia di kediamannya di Paris, Perancis pada usia 104 tahun.

Menurut laporan CNN, aktres legenda yang membintangi puluhan filem pada era 1930an dan 1940an itu meninggal secara semula jadi. Berita kematian disahkan wakil publisiti, Lisa Goldberg. Mendiang De Havilland dikatakan menetap di Paris sejak enam dekad lalu.

Kerjaya seni De Havilland bermula sejak lima dekad lalu. Sepanjang tempoh itu, bintang legenda Hollywood itu membintangi 50 filem cereka.

Dilahirkan di Tokyo pada tahun 1916, mendiang adalah kakak kepada Joan Fontaine yang juga seorang pemenang Oscar, bagaimanapun hubungan mereka bergelora sejak kecil.

Tambah memburukkan keadaan apabila kedua-duanya dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik pada tahun 1942 pada Anugerah Oscar, tetapi Fontaine berjaya menumpaskan kakaknya.

Olivia de Havilland meninggal dunia di kediamannya di Paris, Perancis pada usia 104 tahun. – Agensi

Bagaimanapun, De Havilland memenangi anugerah Oscar pertama menerusi filem To Each His Own pada 1947.

Namun, ketika memenangi Oscar, Fontaine dikatakan cuba mengucapkan tahniah kepada kakaknya, tetapi tidak dilayan.

De Havilland pernah memberitahu wakil media, dia tidak faham kenapa Fontaine perlu berbuat demikian, sedangkan beliau tahu bagaimana perasaannya.

Beliau didakwa berang atas komen Fontaine terhadap suami baharunya, Marcus Goodrich yang dikahwini pada tahun 1946. Mereka juga berbalah akibat tidak berpuas hati terhadap rawatan terhadap ibu mereka pada tahun 1975. Bagaimanapun, Fontaine meninggal dunia pada usia 96 tahun pada tahun 2013.

Pada saat kematian Fontaine, De Havilland mengeluarkan kenyataan terkejut dan sedih dengan pemergian adiknya itu, lapor CNN.

Mengimbau kerjaya lakonannya, De Havilland membuat kemunculan pertama menerusi filem Captain Blood di sisi Errol Flyn.

Keserasian mereka menyebabkan mereka sering digandingkan bersama. Dia kemudiannya diberi kepercayaan membintangi filem Gone With the Wind dan muncul antara pelakon wanita popular pada lewat 1940-an.

De Havilland meneruskan kerjaya lakonan hingga lewat 1980an. Pada 1986, beliau memenangi Anugerah Golden Globe menerusi filem biografi, Anastasia: The Mystery of Anna.

Mendiang juga pernah mencipta sejarah membawa studio Warner Brothers ke muka pengadilan pada tahun 1943 kerana memanjangkan kontrak tujuh tahun yang berakhir tanpa pengetahuannya.

Ia dilakukan Warner Brothers sebagai denda terhadap aktres berkenaan kerana menolak satu peranan yang diberikan. – Agensi