MADRID, 28 OGOS – Dani Olmo meraikan penampilan pertamanya yang tertunda bersama Barcelona dengan menjaringkan gol untuk memastikan kemenangan 2-1 menerusi kebangkitan menentang Rayo Vallecano dalam La Liga kelmarin.
Jaringan pemain tengah Sepanyol itu pada minit ke-82 membantu Barcelona meraih kemenangan ketiga daripada tiga perlawanan di bawah jurulatih baharu, Hansi Flick pada permulaan musim.
Barca tidak dapat mendaftarkan Olmo dengan La Liga selepas menandatanganinya dari RB Leipzig sehingga awal hari tersebut dan dia segera memberikan impak selepas dimasukkan di stadium Vallecas milik Rayo.
Unai Lopez menjaringkan gol untuk meletakkan Rayo di hadapan menentang Barca yang kelihatan lesu pada separuh masa pertama tetapi Olmo masuk pada waktu rehat dan memberikan tenaga baharu kepada pasukan Catalan itu. Mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi Pedri sebelum pemain baharu itu menjaringkan gol kemenangan.
“Saya telah menunggu untuk bermain sejak saya tiba, tidak sabar untuk bermain pada perlawanan pertama,” kata Olmo kepada DAZN.
“Saya sangat menantikannya, saya bersedia secara fizikal untuk bermain dan akhirnya ia berlaku hari ini.
“Saya sangat gembira kerana dapat membuat penampilan sulung dan membantu pasukan,” tambahnya.
Pada peringkat akhir perlawanan, pemain berusia 17 tahun, Marc Bernal terpaksa dikeluarkan selepas kelihatan seperti mengalami kecederaan pada lutunya dan Flick bimbang tentang pemain muda itu yang telah mempamerkan aksi mengagumkan pada awal musim.
“Ia satu kemenangan yang menyedihkan kerana Marc Bernal cedera dan keadaannya kelihatan tidak begitu baik,” kata jurulatih Jerman itu.
“Kami menang, ia bagus tetapi apabila awda melihat bilik persalinan, tiada siapa yang gembira,” tambahnya. – AFP