Wednesday, September 18, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    OLSC Brunei mantapkan hala tuju musim 2024/2025

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Bagi memantapkan lagi hala tuju, Kelab Penyokong Rasmi Liverpool Brunei (OLSC) telah mengadakan Majlis Penandatanganan Perjanjian Persefahaman (MoU), di Rumah Persatuan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam (FABD) dengan penaja-penaja rasmi sempena Mesyuarat Agung Tahunan 2024/2025, hari ini. 
     
    OLSC telah berjaya bergerak memainkan peranan dalam mewujudkan komuniti penyokong Liverpool FC yang bersemangat tinggi di Negara Brunei Darussalam.
     
    MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung OLSC, Fadhillah Sulaiman bersama Pengarah Urusan Hitune Group of Companies, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang dan Ketua Pegawai Eksekutif YAKIN Football League, Hernah Nur Imani binti Muhd Jeffrey.
     
    Turut menandatangani, wakil FABD iaitu Presiden FABD, Haji Feisal bin Haji Mohd Eusoff, Lagenda Clothing diwakili oleh Mohammad Fadhli bin Haji Lamat dan Macammacamada.bn yang ditandatangani oleh Eddie bin Wasli. Majlis berkenaan disaksikan Presiden OLSC, Alli Fa’iz Othman.
     
    Mesyuarat Agung Tahunan 2024/2025 antara lain merancang hala tuju OLSC bagi program-program jangka pendek dan panjang yang akan dilaksanakan bagi memberikan manfaat kepada ahli-ahlinya.
    Fadhillah Sulaiman bersama Pengiran Zamri selepas selesai menandatangani MoU yang disaksikan oleh Alli Fa’iz. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMAD
    Antara tetamu yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMAD
    OLSC Brunei, yang sebelum ini dikenali sebagai Kelab Penyokong Liverpool Brunei (LSCB), telah ditubuhkan sebagai sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan untuk mempromosikan dan mengembangkan komuniti penyokong Liverpool FC, yang mana kelab berkenaan telah ditubuhkan pada 8 Ogos 2008.
     
    OLSC juga berusaha untuk meningkatkan bilangan penyokong Liverpool FC di Negara Brunei Darussalam dengan melibatkan diri dengan komuniti yang lebih luas menggunakan media sosial dan menyertai acara tempatan.
     
    Sepanjang penubuhan, OLSC Brunei telah berjaya mencapai keahlian melebihi 90 BruneiReds yang berdaftar dan mengadakan aktiviti-aktiviti amal serta kemasyarakatan di samping menganjurkan sesi tontonan siaran langsung perlawanan Liverpool FC.
     
    Antara rancangan yang disusun sepanjang musim 2024/2025 termasuklah untuk mencapai matlamat keahlian 150 BruneiReds yang berdaftar dan menganjurkan pertandingan Fantasy Premier League.
     
    Di samping berusaha memberikan lebih banyak faedah kepada ahli, OLSC juga berhasrat untuk mewujudkan hab baharu bagi perlawanan hujung minggu serta merancang mengadakan lawatan ke Anfield bagi ahli BruneiReds.
     
    Mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak dengan kelab penyokong rasmi Liverpool di rantau ASEAN adalah antara usaha menarik yang ingin direalisasikan.
     
    Manakala dalam jangka masa panjang, OLSC juga merancang untuk melebarkan jumlah ahli berdaftar, menubuhkan pejabat rasmi OLSC Brunei dan meneliti penubuhan pasukan bola sepak rasmi bagi menyertai liga kebangsaan Brunei.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda