Oman rai Hari Kebangsaan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Kedutaan Kesultanan Oman ke Brunei Darussalam, malam tadi, telah mengadakan majlis resepsi sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-49 yang berlangsung di Dewan Utama Indera Samudra, The Empire Brunei, Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan isteri, Datin Dr Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee.

Pada majlis itu, Duta Besar Kesultanan Oman ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil Al-Maskari turut memberi ucapan yang antara lain mengenai beberapa penglibatan kedutaan semasa Pameran Buku Brunei baru-baru ini dan pelancaran empat Omani Publications Corner di perpustakaan-perpustakaan universiti dan kolej di negara ini.

Selain itu, kongsinya lagi, Kedutaan Kesultanan Oman juga aktif mengadakan beberapa bengkel dan kursus bagi memantapkan dan meningkatkan teknik pengajaran Bahasa Arab kepada pelajar mahupun kalangan guru atau pengajar di negara ini.

Dalam ucapannya juga, beliau turut menyentuh mengenai kerjasama pertahanan yang menjadi satu lagi dimensi hubungan dua hala Brunei-Oman yang juga terus berkembang sejak kebelakangan ini dengan angkatan bersenjata kedua-dua buah negara sentiasa mengambil bahagian dalam Kursus Maktab Turus (CSC) serta acara dan latihan ketenteraan lain di Oman dan Brunei.

Katanya, Oman dan Brunei juga telah mengekalkan kerjasama yang kukuh dalam pelaburan ekonomi, di mana Syarikat Pelaburan Brunei Oman yang ditubuhkan bersama oleh kedua-dua kerajaan pada tahun 2009 terus memanfaatkan peluang perniagaan yang terdapat dalam pasaran tempatan Oman dan Brunei dan menyumbang kepada pelan kepelbagaian ekonomi.

Terdahulu, majlis resepsi berkenaan dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman yang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar Sekolah Al-Falaah, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Majlis juga diserikan dengan upacara memotong kek Sambutan Hari Kebangsaan Kesultanan Oman ke-49 tahun oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham, Datin Dr Hajah Noraslinah, TYT Sheikh Ahmed dan isteri, bersama duta-duta Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang diakreditasi di Brunei Darussalam, dan diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat majlis, sebelum para jemputan menikmati jamuan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan TYT Sheikh Ahmed bersama isteri masing-masing serta duta-duta GCC ketika upacara memotong kek.
Nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua buah negara yang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar Sekolah Al-Falaah.