KUALA LUMPUR, 1 DIS – Sekiranya varian baharu Omicron membawa kepada kemunculan semula penularan COVID-19, ekonomi yang paling teruk terjejas ialah negara yang mempunyai kadar vaksin yang lebih rendah, pergantungan yang tinggi pada pelancongan dan kapasiti rendah untuk menawarkan sokongan dasar fiskal dan kewangan tambahan untuk mengimbangi kesan pertumbuhan impak jangkitan.
Moody’s Investors Services (Moody’s) berkata jika varian itu menjejaskan selera risiko pasaran global, ia akan menyebabkan tekanan kewangan selanjutnya bagi penerbit hutang dengan keperluan pembiayaan yang besar.
Sebagai contoh, negara pasaran-pasaran sedang pesat membangun yang bergantung pada pasaran antarabangsa untuk meminjam mungkin menghadapi risiko pembiayaan semula yang lebih tinggi.
Ekonomi maju pula, dibantu oleh penggunaan vaksin yang sangat berkesan, kadar vaksinasi yang tinggi dan sokongan dasar yang meluas kepada sektor swasta, berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh varian baharu itu berbanding negara pasaran sedang pesat membangun.
“Tetapi keraguan terhadap vaksin kekal menjadi penghalang kepada pemulihan di banyak tempat, termasuk di beberapa ekonomi maju,” kata Moody’s dalam laporannya. – Bernama