JAKARTA/SINGAPURA, 29 NOV – Indonesia dan Singapura hari ini berwaspada terhadap varian baharu yang mudah bermutasi dan kini sedang merebak ke seluruh dunia, Omicron.
Indonesia menyenaraikan larangan kemasukan empat buah lagi negara manakala Singapura mengatakan ia akan memantau rapi varian tersebut.
Indonesia menyenaraikan Angola, Hong Kong, Malawi dan Zambia ke dalam senarai yang dikenakan sekatan, selain sekatan ke atas Nigeria, Afrika Selatan, Botswana, Namibia, Zimbabwe, Lesotho dan Mozambique serta Eswatini kelmarin.
Pengembara yang pulang dari negara telibat, dalam tempoh 14 hari lepas perlu menjalani kuarantin di kemudahan ditetapkan, kata pegawai kanan dalam satu taklimat berita.
Menteri Penyelaras Luhut Pandjaitan berkata tempoh kuarantin wajib bagi pengembara antarabangsa, rakyat Indonesia dan warga asing dilanjutkan kepada seminggu berbanding tiga hari.
“Kami telah mengambil semua langkah dan tindakan yang perlu untuk memastikan pandemik terkawal,” katanya.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Siti Nadia Tarmizi berkata sehingga kini, varian baharu itu belum dikesan di negara ini dan kementerian sedang memantau rapat melalui analisis penjujukan genom.
Sementara itu, Singapura sedang melakukan pemantauan rapi ke atas varian baharu itu dan mungkin terpaksa membatalkan sebahagian kelonggaran langkah keselamatan ketika ia berusaha menangani jangkitan koronavirus, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong kelmarin.
Namun beliau melahirkan keyakinan bahawa negara itu akan dapat hidup bersama virus dan memuji bagaimana rakyatnya meraih kemajuan menangani jangkitan dalam masa dua tahun lalu.
Bercakap pada konvensyen Parti Tindakan Rakyat (PAP), Lee mengatakan Singapura mesti bersedia daripada segi mental bagi ‘lebih banyak cabaran’ semasa menangani virus yang sering bermutasi itu.
“Kami sedang memantaunya rapi. Kami belum pasti lagi, namun kami mungkin terpaksa mengambil langkah berundur, sebelum kami boleh mengambil lebih banyak langkah ke hadapan,” katanya.
Namun beliau turut menyuarakan keyakinan, Singapura akan mampu hidup bersama virus dan secara selamat menyambung semua perkara larangan. –Bernama/ANN-The Straits Times.