TOKYO/SYDNEY, 29 NOV – Varian baharu koronavirus, Omicron terus menyaksikan negara di seluruh dunia mengenakan semula sebahagian sekatan, termasuklah Jepun dan Australia yang menutup semula sempadan mereka kerana khuatir penularan meluas, sekali gus melanjutkan lagi penderitaan pandemik.
Jepun yang belum mengesan sebarang varian tersebut, melaksanakan semula kawalan sempadan yang dilonggarkannya bulan ini, bagi pengunjung perniagaan jangka pendek, pelajar asing dan pekerja.
Meskipun kebimbangan global, saintis bagaimanapun memberi amaran bahawa masih belum jelas sama ada Omicron adalah lebih bahaya daripada versi virus lain yang membunuh lebih 5 juta orang di seluruh dunia. Sebahagian negara meneruskan rancangan sebelumnya untuk melonggarkan sekatan, dengan tanda-tanda pembukaan semula di Malaysia, Singapura dan New Zealand.
“Kami mengambil langkah kewas-padaan kecemasan bagi mencegah senario terburuk di Jepun,” kata Perdana Menteri Fumio Kishida mengenai langkah-langkah yang bermula esok. Jepun sudah pun menutup sempadannya kepada pelancong asing dari seluruh negara.
Kishida juga menggesa orang ramai terus memakai pelitup muka dan mengamalkan langkah-langkah antivirus sehingga perincian lanjut varian baharu Omicron diketahui.

Sementara itu, Australia membatalkan pelannya untuk melonggarkan sekatan sempadan, dilaksanakan tahun lalu bagi memerangi pandemik.
Australia yang sudah pun mengesahkan lima kes Omicron, dijangka melonggarkan sekatan ke atas pekerja berkemahiran dan pelajar bermula Rabu dalam industri pesat yang mengalami kekurangan tenaga buruh di bawah salah satu rejim sempadan paling sukar di dunia.
Namun Perdana Menteri Scott Morrisson hari ini mengumumkan penangguhan dua minggu ke atas rancangan itu, dalam usaha membolehkan Australia mengumpulkan maklumat mengenai varian baharu, menyusuli pengumuman dari Jepun dan Israel yang melarang kemasukan pengembara asing.
Dalam pada itu, New Zealand tidak berganjak dalam rancangannya membuka semula negara, melonggarkan lebih banyak langkah-langkah virus.
Bar, restoran dan gim boleh dibuka semula lewat Khamis di Auckland, menamatkan perintah berkurung koronavirus bermula dalam Ogos.
Di seluruh negara, satu sistem ‘lampu isyarat’ baharu akan menamatkan perintah berkurung namun orang ramai perlu divaksinasi penuh bagi kebenaran menyertai mana-mana langkah termasuk menggunting rambut sehinggalah menonton konsert.
New Zealand seperti negara lain pada Ahad turut melarang perjalanan daripada sembilan negara Afrika dalam respons terhadap ancaman Omicron. Perdana Menterinya, Jacinda Ardern mengatakan beliau tidak menjangkakan sekatan lanjut lainnya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan risiko menyeluruh Omicron adalah ‘sangat tinggi’ dan memberi amaran peningkatan jangkitan besar akan membebankan sistem kesihatan dan membawa lebih banyak kematian. – AP/AFP