Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Omicron masih berisiko tinggi

    GENEVA, 29 DIS – Omicron masih lagi ‘berisiko amat tinggi’ dan boleh meruntuhkan sistem kesihatan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kelmarin, ketika varian mudah menular itu mencecah rekod jangkitan di kebanyakan negara.

    Angka kes meningkat 11 peratus seluruh dunia minggu lalu, sehingga memaksa kerajaan dari China sehingga ke Jerman dan Perancis sukar mencari keseimbangan antara mengenakan sekatan antivirus atau terus membuka ekonomi dan kehidupan masyarakat.

    Belanda dan Switzerland mengatakan Omicron sudah menjadi strain dominan di negara mereka, manakala beberapa kajian menunjukkan ia mengakibatkan jangkitan COVID-19 yang lebih ringan dan WHO menggesa kewaspadaan. “Risiko keseluruhan berkaitan varian membimbangkan (VoC) Omicron masih amat tinggi,” kata WHO dalam kemas kini epidemiologi mingguan COVID-19.

    “Bukti konsisten menunjukkan bahawa varian Omicron mempunyai kelebihan jangkitan tinggi berbanding Delta, dengan masa gandaan dua hingga tiga hari sahaja.”

    Menurut WHO, data awal dari Britain, Afrika Selatan dan Denmark yang ketika ini merekodkan kadar kebolehjangkitan tertinggi dunia merangkumi seorang individu, mencadangkan terdapat pengurangan risiko dimasukkan ke hospital bagi pesakit dijangkiti Omicron berbanding Delta.

    Namun ia menambah data lanjut diperlukan bagi memahami tahap teruk akibat Omicron. Di sebalik kajian ini, penularan pantas Omicron akan ‘membawa kepada sejumlah besar orang yang akan dimasukkan ke hospital, khususnya dalam kalangan kumpulan yang tidak bervaksin dan mengakibatkan bebanan meluas ke atas sistem kesihatan dan perkhidmatan kritikal lainnya,” kata Pengurus Insiden COVID Eropah WHO, Catherin Smallwood. Eropah sekali lagi jadi titik panas pandemik, dengan lebih 5.4 juta kematian di seluruh dunia.

    Perancis, Britain, Greece dan Portugal semuanya merekodkan kes jangkitan harian mencecah rekod pada Selasa. Perancis melaporkan hampir 180,000 jangkitan dalam masa 24 jam. Bagi mengekangnya, banyak negara di benua itu memperkenalkan semula sekatan yang amat menjejaskan ekonomi dan sosial. – AFP

    Seorang wanita memakai pelitup muka bagi melindungi diri daripada koronavirus di tapak kuno Perpustakaan Hadrian di Monastiraki, tengah Athens, 29 Disember. WHO memberi amaran bahawa virus Omicron masih berisiko tinggi dan boleh meruntuhkan sistem kesihatan negara-negara di dunia. –AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda