Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Onana bakal ganti De Gea

    MANCHESTER, UNITED KINGDOM, 18 JULAI – Manchester United semakin hampir menandatangani penjaga gol Inter Milan, Andre Onana, dengan bayaran sebanyak £47 juta seperti yang dilaporkan oleh beberapa media di United Kingdom (UK) hari ini.

    Onana, 27, memainkan peranan penting dalam perjalanan Inter ke final Liga Juara-Juara dan sebelum ini bekerjasama dengan pengurus United, Erik ten Hag, semasa bermain untuk Ajax.

    Penjaga gol warganegara Cameroon itu dilaporkan akan menandatangani kontrak selama lima tahun di Old Trafford dan akan menjadi pengganti David De Gea sebagai penjaga gol utama kelab itu.

    United akan membayar jumlah awal sebanyak 51 juta euro dengan tambahan empat juta euro lagi bergantung pada prestasi yang dicapai.

    De Gea meninggalkan pasukan Red Devils awal bulan ini selepas menghabiskan 12 tahun bersama United.

    Penjaga gol dari Sepanyol itu menghadapi kesulitan dalam gaya permainan ten Hag yang lebih menekankan permainan dari belakang dan Onana kelihatan lebih sesuai dengan falsafah jurulatih Belanda itu.

    Onana beraksi untuk pasukan Barcelona pada usia 14 tahun setelah ditemui oleh akademi Samuel Eto’o di tanah airnya.

    Setelah gagal mendapat tempat dalam pasukan utama di Camp Nou, Onana menyertai Ajax pada tahun 2015 dan memenangi tiga gelaran Eredivisie di bawah pengurusan ten Hag di Belanda.

    Walau bagaimanapun, kerjayanya mengalami gangguan sementara pada tahun 2021 kerana dijatuhi hukuman mengambil bahan terlarang atau doping. – AFP

    Aksi David de Gea semasa separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley di London. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda