Sabtu, 22 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Onana sertai Trabzonspor secara pinjaman

    LONDON, 12 SEPT – Penjaga gol Cameroon, Andre Onana, sah meninggalkan Manchester United untuk menyertai kelab Turkiye, Trabzonspor, secara pinjaman selama semusim.

    Masa depan Onana di Old Trafford menjadi tanda tanya selepas United menandatangani penjaga gol Belgium, Senne Lammens dari Antwerp dengan yuran perpindahan 21 juta euro (£18.2 juta) termasuk tambahan.

    Onana, 29, menyertai United dari Inter Milan pada 2023 dengan nilai awal 51 juta euro ditambah kemungkinan 4 juta euro sebagai insentif dan menamatkan musim pertamanya dengan menjulang Piala FA.

    Namun, prestasi tidak menentu serta perselisihan dengan pengurus Ruben Amorim musim lalu mencetuskan keraguan terhadap kedudukannya.

    Kecederaan hamstring yang dialaminya ketika pramusim diikuti kesilapan pada perlawanan pertama musim ini ketika United tersingkir daripada Piala Liga kepada Grimsby, mengukuhkan lagi keperluan kelab membawa masuk pengganti.

    Kehadiran Lammens akhirnya menjadi faktor utama perpindahan itu.

    “Penjaga gol Manchester United, Andre Onana, telah menyertai Trabzonspor secara pinjaman untuk musim 2025/26, tertakluk kepada pelepasan antarabangsa dan pendaftaran,” menurut kenyataan rasmi United.

    Perpindahan itu dimuktamadkan menjelang penutupan jendela perpindahan Turkiye, hari ini.

    United akan kembali beraksi selepas rehat antarabangsa dengan pertemuan menentang seteru utama, Manchester City, Ahad ini. – AFP

    Reaksi Andre Onana semasa perlawanan bola sepak separuh akhir kedua Liga Europa antara Manchester United dan Athletic Bilbao di Manchester, Britain pada 8 Mei lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda