Penyanyi Once Mekel akhirnya bertemu dengan Ahmad Dhani di Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia di Rasuna Said, Jakarta, Indonesia pada Selasa lalu.
Memetik laporan Kompas, Once telah memaklumkan sendiri di hadapan Dhani bahawa dia tidak akan lagi membawakan sebarang lagu yang dicipta oleh ahli kumpulan Dewa 19 itu.
“Jangan khuatir saya tidak lagi akan membawa lagu Dhani di Dewa 19 lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Once mengakui dia sudah mematuhi segala peraturan mengenai pengagihan royalti muzik selama ini.
Dia bagaimanapun menegaskan pihak penganjur yang sepatutnya bertanggungjawab berhubung isu pembayaran royalti.
Sementara itu, Dhani berkongsi pendapat yang sama dengan Once dan memberitahu masalah yang timbul ini adalah tanggungjawab penganjur dan bukannya penyanyi lagu Dealova itu.
“Bukan Once yang bertanggungjawab untuk membayar. Jadi jangan tanya Once sama ada dia perlu bayar atau tidak kerana itu bukan tanggungjawab dia,” katanya.
Pada Mac lalu, Once dalam sebuah temu bual menjawab tuduhan bahawa pihaknya tidak membayar royalti kepada Dhani ketika membawakan lagu-lagu milik Dewa 19.
Once memberitahu perkara itu masih lagi dalam perbincangan dan pertimbangan pihak pengurusan kedua-dua belah pihak. – Agensi