ALOR SETAR, 25 Jun – One XOX Sdn Bhd (One XOX), syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih, menyediakan platform terbaik khusus kepada golongan Bumiputera untuk menjana pendapatan dengan menceburi bidang keusahawanan telekomunikasi.
Ketua Pegawai Kewangannya (CFO) Badrol Izman Osman berkata sehingga kini pihaknya berjaya melahirkan kira-kira 57,000 pengedar di seluruh negara, termasuk lebih 10,000 pengedar di kawasan utara tanah air.
“Kira-kira 30 pusat jualan telah dibuka oleh pengedar di Wilayah Utara. “kami kini berhasrat mencari dan membantu seramai mungkin usahawan, khususnya Bumiputera, bagi menjana pendapatan pasif sehingga boleh mencecah RM50,000 sebulan.
“Sasaran pasaran One XOX ialah pengguna prabayar di Malaysia yang disaran bertukar menggunakan perkhidmatan One XOX, bagi menjana pendapatan pasif,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.
Badrol Izman berkata sejak beroperasi tiga tahun lepas, One XOX kini mempunyai hampir dua juta pengguna aktif di seluruh negara .
Sementara itu, beliau berkata One XOX yang diiktiraf Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), turut menjadi syarikat telekomunikasi pertama menerima pengiktirafan patuh Syariah oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah, September tahun lepas.
“Seiring dengan ketetapan Syariah, pelan dan perkhidmatan One XOX adalah lebih telus dengan tidak mengenakan sebarang caj yang tersembunyi dan merugikan para penggunanya.
“Tempoh sah kredit yang berpanjangan merupakan keistimewaan yang boleh dinikmati pelanggan One XOX,” katanya. – Bernama