Monday, January 27, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Onigiri semakin diminati di seluruh dunia

    JEPUN – Bebola nasi onigiri telah mendapat populariti di dalam negara dan juga di banyak negara asing kerana rasa lazat dan manfaat kesihatannya.

    Permintaan yang meningkat untuk dibawa pulang akibat pandemik COVID-19 telah membawa kepada pembukaan beberapa kedai khusus onigiri.

    Onigiri juga semakin popular dalam kalangan warga asing yang mementingkan kesihatan, yang mendorong kepada pengembangan kedai-kedai onigiri di luar negara.

    Apabila penggunaan beras domestik merosot, banyak perniagaan cuba mencari permintaan baharu untuk ‘makanan jiwa’ Jepun itu.

    MENGGUNAKAN NASI YANG ENAK

    Pada 27 Oktober, kedai Musubitei onigiri di Wad Shibuya, Tokyo, sibuk dengan pelang-
    gan yang melihat onigiri dalam kotak pameran untuk memutuskan yang mana satu untuk dibeli.

    Seorang pelanggan melihat pilihan onigiri yang terdapat di Musubitei di Wad Shibuya, Tokyo pada Oktober lalu. – ANN/The Japan News
    Pelanggan makan onigiri di sebuah restoran di Osaka pada 21 November. – ANN/The Japan News​
    Gambar Unsplash

    Kotak pameran mengandungi bebola-bebola nasi yang diisi dengan pelbagai bahan seperti salmon, ume plum, jeruk takana hijau dan mentaiko spiced cod roe.

    “Nasinya gebu, tidak seperti yang pernah saya makan di China. Onigiri sangat sedap sehingga saya terus balik ke kedai ini,” kata seorang pekerja syarikat dari China berusia 31 tahun yang bekerja di sebuah syarikat berhampiran.

    Tetsuya Kazama, 56, presiden sebuah syarikat penyewaan peralatan audio, membuka Musubitei pada akhir Ogos, berharap ramai orang akan menikmati beras dari wilayah asalnya di Niigata. Dia berkeras untuk menggunakan beras yang diperbuat daripada koshihikari yang dihasilkan di Uonuma di wilayah itu untuk onigiri.

    Onigiri berkenaan dijual pada harga antara ¥180 dan ¥360 setiap satu, yang lebih mahal sedikit daripada onigiri yang dijual di kedai-kedai serbaneka, tetapi syarikat itu menjual hampir 500 onigiri sehari. Ramai pelanggan asing turut mengunjungi kedai tersebut.

    “Saya mahu orang ramai di seluruh dunia mengetahui keenakan nasi Jepun melalui onigiri.

    Kami juga sedang mempertimbangkan pengembangan kedai onigiri di luar negara,” kata Kazama.

    PERMINTAAN TINGGI UNTUK ONIGIRI

    Kedai khusus onigiri telah muncul di banyak tempat di negara ini, kebanyakannya dibuka oleh firma dari industri lain.

    Honnori-ya, yang dikendalikan oleh anak syarikat East Japan Railway Co (JR East), telah membuka lapan kedai baharu sejak April 2022, dan kini mengendalikan 20 kedai di kawasan metropolitan Tokyo.

    Zojirushi Corp turut melancarkan kedai onigiri ‘Zojirushi ginpaku onigiri (onigiri perak-putih)’ di sebuah kedai serbaneka di Osaka pada April 2022.

    Ohmoriya Co, sebuah syarikat yang pakar dalam rumpai laut kering nori, membuka kedai onigiri yang dinamakan ‘Nori musubi’ di Kyoto, di mana pelanggan boleh memilih daripada tiga jenis nori yang berbeza.

    Peningkatan bilangan kedai onigiri didorong oleh fakta bahawa orang ramai terbiasa makan makanan yang dibeli di rumah atau di tempat kerja semasa wabak itu.

    Menurut tinjauan pendapatan dan perbelanjaan keluarga oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi, perbelanjaan onigiri dan barangan makanan lain menggunakan beras untuk isi rumah dua orang atau lebih mencapai rekod tertinggi ¥5,172 pada 2022.

    Harga tepung, yang merupakan ramuan roti dan mi, melonjak buat sementara waktu akibat pencerobohan Rusia di Ukraine, tetapi harga beras kekal stabil, yang merupakan
    salah satu sebab mengapa permintaan untuk onigiri meningkat.

    TERSEBAR KE LUAR NEGARA

    Namun begitu, penggunaan beras per kapita kekal tidak berubah disebabkan kepelbagaian tabiat pemakanan, antara faktor lain. Selepas memuncak pada 118 kilogram pada fiskal 1962, penggunaan beras terus menurun, hanya mencapai anggaran 50.9 kilogram pada fiskal 2022.

    Satu faktor bagi peningkatan penggunaan beras ialah populariti onigiri, yang telah mula tersebar ke luar negara. Onigiri menarik perhatian sebagai makanan yang murah dan sihat.

    Bahan asas onigiri adalah beras, rumpai laut dan garam, menjadikannya mudah untuk dimakan bagi orang yang mengamalkan sekatan diet agama atau vegetarian.

    Omusubi Gonbei, yang mempunyai 51 rangkaian kedai di Jepun, mempunyai dua buah kedai di Amerika Syarikat dan dua di Perancis.

    Pada hari yang sibuk, sebuah kedai boleh menjual beberapa ribu onigiri, yang setiap satunya berharga kira-kira ¥400. Pada masa hadapan, syarikat itu merancang untuk membuka 1,000 kedai di luar negara sahaja.

    MENINGKATKAN EKSPORT

    Jumlah beras yang dieksport ke luar negara untuk kegunaan komersil telah meningkat berikutan peningkatan bilangan kedai onigiri yang dibuka di luar negara. Menurut Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan, jumlah itu mencecah 4,516 tan pada 2014, dan ia meningkat enam kali ganda kepada 28,928 tan pada 2022.

    Sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan eksport beras ke luar negara, kementerian melancarkan projek strategik untuk mengembangkan pasaran beras di
    luar negara pada fiskal 2017.

    Kementerian itu telah mempromosikan keenakan nasi pada acara-acara di pelbagai negara dan menyatukan syarikat Jepun dan asing.

    “Sehingga kini, beras hanya digunakan untuk membuat susyi, namun ledakan onigiri baru-baru ini telah membuka peluang untuk membangunkan pasaran beras,” kata seorang pegawai kementerian.

    “Pada masa hadapan, kami ingin mengembangkan eksport beras bukan sahaja ke
    Amerika Utara dan Asia, di mana ia sangat popular, tetapi juga ke Timur Tengah dan Afrika.”

    MENGGUNAKAN BAHAN PENGGANTI

    Pengusaha-pengusaha kedai serbaneka telah mula cuba menyelesaikan masalah sosial melalui onigiri.

    Pada Julai lalu, Seven-Eleven Japan Co mula menjual ‘mirai deli onigiri tuna mayonis’ iaitu tuna yang dicampur dengan protein kacang. Syarikat itu berkata ia adalah usaha untuk menangani kekurangan makanan yang disebabkan oleh populasi dunia yang semakin meningkat.

    Pada Ogos, Lawson Inc mula menjual onigiri beku di cawangannya di Tokyo dan Prefektur Fukushima secara percubaan. Syarikat itu menyasarkan untuk mengurangkan bilangan penghantaran dari kilang makanan ke kedai dan bertindak balas terhadap apa yang dipanggil masalah logistik 2024, kekurangan tenaga buruh yang dijangkakan dalam bidang berkaitan logistik. – ANN/The Japan News

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda