PUTRAJAYA, 28 MEI – Kerajaan akan memperhebatkan Op Benteng di semua sempadan negara, bagi memastikan warga asing yang lolos keluar untuk berhari raya di negara mereka, tidak akan kembali ke Malaysia.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi dan pemantauan oleh pihak berkuasa akan dipertingkat dan diperketatkan, terutama di lorong-lorong tikus masuk ke negara ini, bagi mengekang penularan kes import wabak COVID-19.
“Sebagai contoh warga dari Indonesia yang ada permit bekerja di sini pulang berhari raya di negara mereka, bila mereka pulang, kita takkan benarkan mereka kembali lagi ke negara ini.
“Ini kerana dasar kita ketika PKP ini ialah tidak membenarkan sama sekali mereka pulang ke sini, untuk mengelakkan kes import,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini. – Bernama