Thursday, July 17, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Op Kesan: Situasi pencatutan terkawal di Sarawak

    KUCHING, 16 JULAI – Sebanyak 37 premis membabitkan 176 unit penyimpanan stok (SKU) diperiksa pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak dalam pelaksanaan Op Kesan 4.0 bermula 1 Julai lepas.

    Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata sehingga 14 Julai lepas, hasil pemantauan menunjukkan situasi pencatutan di negeri itu kekal terkawal selepas pihaknya menerima hanya satu aduan berkaitan pencatutan yang dilaporkan berlaku di Sibu.

    “Op Kesan 4.0 dilaksanakan di seluruh negara bertujuan memastikan peniaga tidak menaikkan harga secara tidak munasabah dengan menjadikan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebagai alasan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan pemeriksaan di premis Pasaraya Farley Kuching hari ini.

    Matthew berkata individu yang melakukan pencatutan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000.

    “Bagi kesalahan berulang, individu boleh dikenakan denda hingga RM250,000 atau penjara lima tahun, manakala syarikat pula boleh didenda maksimum RM1 juta,” katanya, sambil menegaskan kenaikan harga tanpa asas sah disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

    Beliau turut menggalakkan pengguna memanfaatkan aplikasi mudah alih Price Catcher bagi membuat perbandingan harga sebelum berbelanja, selain menyalurkan aduan sekiranya mengesan aktiviti manipulasi harga di premis perniagaan.

    “KPDN tidak tunggu aduan semata-mata. Kami ada lebih 207 pegawai penguat kuasa di seluruh Sarawak yang turun padang setiap hari, termasuk hujung minggu bagi menjalankan pemantauan berkala,” katanya. – Bernama

    Matthew Dominic Barin (tiga,kiri) membuat pemeriksaan ketika menyertai Op Kesan 4.0 di sebuah pasaraya di Kuching, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda